Siasatan kes Harith Iskander, Cecelia ambil sedikit masa

Siasatan kes Harith Iskander, Cecelia ambil sedikit masa

PETALING JAYA: Siasatan berhubung kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama berkaitan isu ham memerlukan laporan forensik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan tersebut “mengambil masa” berikutan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan kerjasama daripada pihak lain. 

“Kita memerlukan laporan forensik daripada SKMM sebab itu ia (siasatan) ambil sedikit masa.

“Kita akan lengkapkan siasatan dan akan rujuk pada Pejabat Peguam Negara (AGC), Khamis ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Beliau mengulas ketika ditanya mengenai dakwaan segelintir pihak yang mempersoalkan siasatan terhadap Harith Iskander dan Cecelia Yap Song mengambil masa berbanding kes ugutan jenayah terhadap pelawak terbabit. 

Sebelum ini, polis merekod keterangan Harith pada 22 Januari lalu manakala Cecelia pada 27 Januari berkaitan isu ham didakwa menyentuh sensitiviti agama. 

Pada 21 Januari lalu, Harith, 54, didakwa memuat naik hantaran dengan memuat naik sekeping gambar menunjukkan segelas kopi dinamakan ham sap kopi berharga RM5.50.

“Saya begitu keliru. Iman saya tergugat. Kopi ini akan membawa saya ke jalan yang salah dalam pelbagai cara”.

“Bukan sahaja menggoda saya untuk menjadi hamsap, tetapi juga membuat saya keliru dengan perkataan ‘ham’ di dalamnya. Ini untuk diminum atau dimakan?

“Saya mesti buat laporan polis kerana saya terlalu lemah sehingga hilang semua kemampuan untuk berfikir secara logik. Siapa lagi yang keliru?”, tulisnya dalam hantaran itu yang disudahi emoji wajah tertawa hingga keluar air mata.

Hantaran berkenaan didakwa membuka ruang mempersendakan agama Islam apabila seorang pengguna media sosial dikenali sebagai Cecelia Yap meninggalkan komen pada hantaran itu yang dipercayai mengaitkan ‘ham’ dengan nama Nabi Muhammad SAW.- UTUSAN

Scroll to Top