Yangon: Kumpulan pemberontak Myanmar pada Jumaat mengakui anggotanya membunuh dua tahanan, satu pengakuan jarang berlaku mengenai keganasan berdarah ketika mereka bertempur dengan junta pemerintah untuk mengawal kawasan sempadan barat negara itu.
Menurut jurucakap kumpulan militan Arakan Army (AA), Khaing Thu Kha, insiden itu berlaku pada Februari tahun lalu ketika serangan AA di perbandaran Kyauktaw, Rakhine, dan ia “melanggar disiplin ketenteraan.”
“Militia tempatan (AA) kami gagal mengawal kemarahan mereka dan melakukan jenayah… sebagai tindak balas terhadap askar tentera Myanmar yang menangkap, menyeksa dan membunuh keluarga mereka secara tidak adil,” katanya kepada AFP.
Dalam klip berdurasi dua minit yang tersebar di media sosial, kira-kira tujuh lelaki – beberapa daripadanya memakai seragam AA dan memegang senjata api – dilihat menendang serta memukul dua lelaki tanpa baju yang terbaring di tanah.
Dalam video lain, pembunuh yang didakwa sama kelihatan mengelar leher tawanan menggunakan pisau besar seperti parang.
Khaing Thu Kha pada Jumaat mengesahkan bahawa video itu adalah asli dan pelaku adalah anggota kumpulan bersenjata etnik AA.
Rakhine di barat Myanmar dipenuhi dengan perpecahan etnik dan agama. Kawasan itu menjadi perhatian dunia selepas tindakan keras tentera pada 2017 yang memaksa kira-kira 740,000 umat Islam Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.
Junta tentera mengambil alih kuasa negara itu dalam rampasan kuasa 2021 terhadap kerajaan awam yang dipilih secara demokratik di bawah pimpinan Aung San Suu Kyi.
AA mendakwa ia berjuang untuk mendapatkan lebih banyak autonomi bagi etnik Rakhine, yang juga dituduh membantu tentera dalam pengusiran Rohingya.
Pada Disember lalu, kumpulan militan itu mendakwa menguasai sepenuhnya sebuah wilayah penting di sepanjang sempadan Bangladesh, meningkatkan lagi tekanan terhadap junta yang bertempur dengan pihak lawan di seluruh negara.
Organisasi hak asasi manusia Fortify Rights menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menyiasat jenayah perang yang dilakukan oleh AA berkaitan pembunuhan itu, menurut laporan yang diterbitkan pada Khamis.
Khaing Thu Kha berkata, AA mengenal pasti dan menghukum semua yang terbabit dalam insiden itu serta menegaskan kumpulannya tidak menerima sebarang pembunuhan di luar undang-undang.
© New Straits Times Press (M) Bhd