Tokyo: Perdana Menteri Shigeru Ishiba pada Isnin berkata bahawa kerajaannya sedang mempertimbangkan untuk menawarkan sokongan perubatan di Jepun untuk penduduk Semenanjung Gaza yang dilanda konflik, lapor Agensi Berita Kyodo.
“Kami sedang berusaha mencari jalan untuk menerima orang yang jatuh sakit atau cedera di Gaza,” kata Ishiba pada sidang parlimen, merujuk kepada wilayah Palestin yang telah diserang oleh tentera Israel.
Perdana Menteri juga memberitahu Jawatankuasa Belanjawan Dewan Rakyat bahawa Tokyo akan cuba melancarkan program khas di mana universiti boleh menawarkan peluang kepada pelajar dari Gaza untuk belajar di Jepun.
Ishiba membuat kenyataan itu semasa menjawab soalan ahli parlimen mengenai kesediaan Jepun untuk membantu penduduk di Gaza yang mengalami kesusahan akibat serangan udara dan serangan lain yang dilancarkan oleh Israel.
Bulan lalu, Ishiba berjanji bahawa Jepun akan memudahkan pembangunan Palestin semasa pertemuan dengan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar mendedahkan rancangan minggu lalu untuk kerajaan Malaysia menubuhkan dana dengan kerajaan Jepun bertujuan membina hospital, sekolah, dan masjid di Timur Tengah.
© New Straits Times Press (M) Bhd