Harimau kumbang cedera dipercayai dilanggar

Harimau kumbang cedera dipercayai dilanggar

am@hmetro.com.my

Gua Musang: Pengguna laluan Gua Musang-Kuala Krai dekat Kem Semur, di sini, dikejutkan dengan kehadiran seekor harimau kumbang yang dipercayai terbabit kemalangan dan cedera, semalam.

Terdahulu tular gambar seekor harimau kumbang berada di tengah jalan sebelum haiwan liar itu bergerak masuk ke dalam hutan di tepi jalan.

Menurut salah seorang pengguna laluan terbabit, Nor Fadzilah Abu Naim, 42, dia sempat melihat harimau kumbang itu berada di tengah jalan dalam keadaan cedera.

Katanya, pada mulanya dia menyangkakan anjing yang dilanggar kerana warnanya hitam, namun tidak menyangka ia adalah seekor harimau kumbang.

“Kira-kira jam 4.30 petang semalam saya dalam perjalanan dari Gua Musang ke Kampung Renok.

“Ketika tiba di lokasi kejadian kenderaan bergerak perlahan sebelum saya melihat terdapat benda hitam di tengah jalan yang saya sangkakan anjing liar.

“Saya terkejut apabila tiba di tempat kejadian apabila dengan jelas melihat haiwan itu adalah harimau kumbang yang masih hidup tetapi mengalami kecederaan di bahagian punggung,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Nor Fadzilah berkata, kira-kira 15 minit kemudian selepas mengambil anak di Kampung Renok dia berpatah balik untuk pulang ke rumah dan melihat haiwan liar itu sudah tiada di lokasi kejadian.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Mohamad Hafid Rohani berkata, pihaknya belum menerima aduan berkaitan kejadian terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top