Kuala Lumpur: Malaysia berada pada kedudukan baik untuk dunia yang mana kecerdasan buatan (AI) mendominasi pembangunan pusat data memandangkan tidak semua pusat data sesuai untuk menyokong ledakan AI yang akan datang, kata agensi hartanah global Juwai IQI.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kashif Ansari berkata, pusat data yang dibina untuk menyokong teknologi maklumat perusahaan, pengkomputeran awan dan beban kerja tujuan umum tidak dioptimumkan untuk permintaan yang lebih tinggi yang diperlukan oleh AI.
Beliau berkata, pusat data mungkin kekurangan kuasa, penyejukan dan keperluan bagi rangkaian AI.
“Sebaliknya, Malaysia mempunyai rangkaian pusat data yang dirancang bernilai berbilion dolar yang sebahagian besarnya tersedia untuk AI.
“Sokongan inisiatif kerajaan dan pelaburan besar daripada syarikat-syarikat seperti Nvidia, ByteDance, Google, AWS, dan Microsoft telah memastikan perkara (pusat data) ini berlaku,” katanya.
Kashif berkata, rangkaian pembangunan pusat data Malaysia terdiri daripada 1.2 gigawatt, mewakili pertumbuhan sebanyak 600 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.
Beliau berkata, 55 peratus projek baharu pusat data dirancang untuk kawasan di Kuala Lumpur, dan 45 peratus di Johor.
“Pembina pusat data sedang menyesuaikan projek mereka untuk aplikasi AI.
“Lihatlah YTL Power, bangunkan pusat data hijau di Johor yang menggabungkan penyejukan cecair terus ke cip termaju untuk membolehkan ketumpatan kuasa tinggi yang diperlukan oleh pemprosesan AI,” katanya.
Juwai IQI juga berkata, Blackstone sebagai antara pelabur kewangan terbesar dunia dalam infrastruktur AI mendapati dunia perlu membelanjakan AS$2 trilion untuk pusat data dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Malaysia berada pada kedudukan baik menguasai bahagian penting pertumbuhan ini dan Johor pasaran di Asia Tenggara paling pesat berkembang,” tambahnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd