Seremban: Sangkaan mereka, anak berusia 11 bulan itu hanya jaundis, namun luluh hati pasangan apabila organ hati bayi disahkan sudah kronik.
Nur Atiqah Barawi, 33, berkata, selepas berusia dua minggu, anak bongsu daripada dua beradik itu, Nur Alisya Humaira Mohd Shahril Ishak menunjukkan bacaan jaundis normal.
“Bagaimanapun, pada pemeriksaan di klinik kesihatan (KK) ketika berumur sebulan, doktor memaklumkan kulit anak kelihatan kuning sebelum mengambil sampel darah anak.
“Pada sebelah petang, KK hubungi saya dan minta kami pergi ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ). Anak ditahan di wad selama seminggu dan sepanjang tempoh itu, doktor membuat beberapa ujian darah bagi mengetahui puncanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, doktor bagaimanapun tidak berjaya mengesan punca keadaan itu, namun mengesyaki anaknya menghidap Biliary Atresia atau kegagalan fungsi hati.
“HTJ merujuk kami ke Hospital Tuanku Azizah (HTA) di ibu negara kerana di sana ada pakar. Kami membawa anak ke HTA dan doktor mengesyaki anak mengalami Biliary Atresia, namun tidak dapat disahkan.
“Justeru, kami dicadangkan membuat pembedahan bagi mengenal pasti punca dan mengesahkan sama ada Biliary Atresia atau masalah lain.
“Memandangkan anak masih kecil, kami tidak bersetuju selain masih tidak tahu kejayaan pembedahan itu. Kami bawanya pulang dan memantau dari rumah sahaja.
“Sepanjang di rumah, kami cuba pelbagai kaedah termasuk perubatan kampung dan bacaan jaundis masih turun naik. Ada juga yang memaklumkan bayi akan mengalami ‘kuning’ sehingga tiga ke empat bulan,” katanya.
Nur Atiqah berkata, ketika berusia lapan bulan, perut anaknya membesar selain alat sulit membengkak sebelum mereka merujuknya ke HTA.
“Ketika ini doktor sudah mengesahkan hati anak sudah kronik dan menghidap Biliary Atresia. Doktor memberi pilihan membuat pemindahan hati, jika tidak, kebiasaannya bayi akan ‘bertahan’ dalam masa tiga ke empat tahun sahaja,” katanya.
Menurutnya, dia dan suami, Mohd Shahril Ishak, 33, dimaklumkan kadar kejayaan pemindahan hati di negara ini hanya 50 peratus dan dicadangkan melakukannya di luar negara.
“Bagaimanapun, kosnya tinggi RM180,000 termasuk kos dua penjaga selama 25 hari dan tiket penerbangan ke China.
“Selain itu, kami perlu menanggung kos ubat kira-kira RM1,000 hingga RM2,000 sebulan sepanjang hidupnya selepas pembedahan kelak.
“Selepas membuat pertimbangan dan mengumpul maklumat, kami memutuskan membuat pemindahan hati di luar negara dengan saya sebagai penderma.
“Beberapa ibu bapa yang mengalami nasib sama juga memberi pandangan sebelum saya diminta hubungi MABA (Pertubuhan Biliary Atresia Semalaysia). MABA berjaya mengumpul dana awam keseluruhan ke sana.
“Bagaimanapun kami masih perlu menyediakan dana kecemasan kira-kira RM40,000 hingga RM60,000 sekiranya berlaku sesuatu di luar jangkaan,” katanya.
Orang ramai yang mahu memberi sumbangan, boleh salurkannya di akaun Bank Rakyat milik Nur Atiqah, 1102310504.
© New Straits Times Press (M) Bhd