2 bulan intip, sindiket seleweng diesel subsidi tumpas

2 bulan intip, sindiket seleweng diesel subsidi tumpas

am@hmetro.com.my

Butterworth: Cubaan sindiket penyelewengan menjadikan premis di Sungai Lokan, di sini sebagai stor haram bagi menyimpan dan memindahkan minyak diesel bersubsidi untuk dijual di ‘pasaran gelap’ terbongkar selepas diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negari dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, petang tadi.

Dalam serbuan kira-kira jam 2 petang itu, sebanyak 27,000 liter minyak diesel bersubsidi termasuk beberapa peralatan lain serta kenderaan yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM260,860 dirampas untuk tindakan lanjut.

Pengarah KPDN negeri, S Jegan, berkata pihaknya turut menahan empat pekerja lelaki warga tempatan yang berperanan sebagai penjaga stor dan pemandu lori bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

“Serbuan ini dijalankan melalui hasil maklumat daripada risikan yang telah dijalankan oleh pihak KPDN Pulau Pinang selama dua bulan.

“Berdasarkan siasatan awal mendapati, modus operandi sindiket ini adalah mengisi minyak diesel bersubsidi daripada beberapa buah stesen minyak di sekitar kawasan

berhampiran tempat kejadian dengan menggunakan lori yang telah diubahsuai.

“Kemudian, ia akan dibawa ke stor haram di sini, sebagai tempat menyimpan dan memindahkan minyak diesel bersubsidi sebelum dijual di pasaran gelap,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Jegan berkata, premis itu pernah diserbu tahun lalu atas kesalahan sama dan kini sekali lagi dikesan melakukan aktiviti penyelewengan terbabit baru-baru ini.

“Kita masih lagi menjalankan siasatan terperinci penyelewengan yang dijalankan sindiket ini memandangkan ia adalah kesalahan kali kedua dilakukan mereka.

“Berdasarkan peralatan yang ditemui dilihat mereka masih baharu semula beroperasi, malah empat pekerja yang ditahan juga memberitahu mereka baharu sahaja bekerja pada hari ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top