PENYERANG Manchester United, Marcus Rashford menyertai Aston Villa secara pinjaman sekaligus menamatkan beberapa minggu yang sukar untuk penyerang England itu selepas dibekukan di Stadium Old Trafford.
Rashford yang telah bermain sebanyak 60 kali bersama England akan menyertai Villa hingga akhir musim 2024-25.
“Saya bernasib baik kerana mempunyai beberapa kelab yang mendekati saya tetapi Aston Villa adalah keputusan yang mudah.
“Saya sangat mengagumi cara Aston Villa bermain musim ini, dan cita-cita pengurus. Saya hanya mahu bermain bola sepak dan teruja untuk bermula semula.
“Saya berterima kasih kepada Manchester United dan Aston Villa kerana merealisasikan perjanjian pinjaman ini. Saya harap semua di Manchester United mendapat yang terbaik sepanjang musim ini,” tulis Rashford di media sosial lewat Ahad
Rashford telah menjaringkan 138 gol dalam 426 penampilan bersama Manchester United merupakan produk akademi kelab menembusi pasukan senior pada 2016.
Dia yang menjulang Liga Europa, dua Piala FA dan dua Piala Liga, bagaimanapun tidak beraksi bersama United sejak pertengahan Disember selepas mengakui sudah bersedia untuk cabaran baharu dalam kariernya.
Pengendali United, Ruben Amorim mempersoalkan kadar kerja penyerang itu mempertahankan keputusannya untuk sekali lagi mengetepikan Rashford daripada skuadnya ketika mengatasi Fulham bulan lalu, menegaskan dia lebih suka meletakkan jurulatih penjaga gol di bangku simpanan daripada pemain yang tidak memberikan yang terbaik.
Rashford juga telah menjaringkan 17 gol untuk England bermain dalam dua Piala Dunia dan dua Kejohanan Euro.