Bapa penuntut cemerlang bidang perakaunan mendedahkan bahawa allahyarham anaknya, Aysar Zahran Saiful Alimin pernah memasang impian untuk bekerja di firma audit terbesar dunia suatu hari nanti.
Memetik laporan dari Bernama, Saiful Alimin Mohd Mokhtar, 58, menyatakan, anaknya yang pernah meraih tempat pertama di Malaysia dan tempat kedua di dunia bagi kertas Management Information 1 (MA1) peperiksaan Program Asas Perakaunan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA-FIA) pada 2023 beberapa kali menyampaikan hasrat tersebut kepadanya.
Bapa penuntut cemerlang sokong impian anak
Disebabkan itu, dia sentiasa memberikan sokongan dan galakan kepada arwah untuk terus mengejar cita-cita kerana ia merupakan kerjaya yang cukup baik.
“Saya memberi galakan sepenuhnya kepada dia kerana ia merupakan peluang kerjaya yang baik malah saya juga mempunyai beberapa rakan yang bekerja sebagai akauntan. Jadi, saya selalu beritahu Allahyarham supaya mengambil contoh daripada mereka,” ujarnya.
Pensyarah penuntut cemerlang dedah arwah seorang yang kuat berusaha
Dalam pada itu, pensyarah kepada Aysar Zahran, Gary Danny, 29 juga memberitahu allahyarham pernah memaklumkan hal itu kepadanya dan berazam dapat menempatkan diri di salah satu daripada empat firma audit terbesar di dunia yang dikenali sebagai ‘the big four’ untuk meningkatkan ekonomi keluarga.
“Setahu saya Aysar Zahran bukan datang daripada keluarga senang dan dia turut menerima biasiswa untuk melanjutkan pelajaran. Saya mengenalinya sebagai seorang yang peramah dan mudah tersenyum serta mempunyai usaha tinggi untuk berjaya, dalam kelas dia memang suka duduk di barisan paling hadapan,” katanya.
Dedah Gary lagi, dia pernah mengajar Aysar kertas MA1 dalam peperiksaan ACCA-FIA, yang membawa kepada kejayaan cemerlang buat allahyarham.
Kenangan paling manis dikongsi bersama Aysar Zahran ialah apabila saya menghubunginya menerusi telefon untuk memberitahu keputusan peperiksaan tersebut dan kami sama-sama menjerit gembira di telefon,” katanya.
Artikel lain: Suami isteri meninggal dalam kemalangan, keluarga mohon doa buat 2 anak mangsa cedera
Pemergian penuntut cemerlang cukup dirasai
Pemergian mengejutkan allahyarham sememangnya memberi tamparan hebat buat keluarga, namun mereka akui reda dengan takdir yang sudah ditetapkan Allah S.W.T.
Bapanya turut menyerahkan segala siasatan kepada pihak berkuasa dan mengucapkan terima kasih buat mereka yang sudi menjadi saksi kemalangan tersebut
“Walaupun sangat sedih kehilangannya, saya reda dengan kejadian ini,”
Saya menyerahkan sepenuhnya siasatan berhubung kejadian ini kepada pihak berkuasa dan berharap anak saya akan mendapat keadilan sewajarnya. Saya juga berterima kasih kerana banyak pihak sudi menjadi saksi,” katanya.
Terdahulu, allahyarham yang merupakan pelajar semester dua di TYMBA Education Group, dalam perjalanan pulang ke penginapan di kolejnya di Gombak telah mengalami kemalangan melibatkan enam buah kenderaan selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Alza yang memasuki laluan bertentangan dalam kejadian kira-kira 4.45 petang semalam.
Sumber: Bernama