Perubahan morfologi sungai punca cuaca sejuk di Jeli, Kuala Krai

Perubahan morfologi sungai punca cuaca sejuk di Jeli, Kuala Krai

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Cuaca sejuk yang melanda kawasan Jeli dan Kuala Krai di Kelantan baru-baru ini dipercayai terjadi atas faktor perubahan morfologi sungai yang semakin melebar.

Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Frankie Marcus Ata berkata, perubahan pada sungai terjadi akibat fenomena banjir yang melanda di negeri itu sebelum ini.

“Apabila sungai semakin lebar, permukaan embun yang boleh terhasil di kawasan sungai semakin luas.

“Ini salah satu faktor yang menyebabkan penurunan suhu terutamanya pada waktu pagi khususnya di kawasan tanah tinggi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, hal itu dapat dibuktikan dengan keadaan Sungai Kelantan yang semakin melebar berikutan hakisan Sungai Galas dan Sungai Nenggiri yang terletak di bahagian hulu.

Menurutnya, pembentukan embun sejuk itu juga ada kaitan dengan faktor topografi Jeli dan Kuala Krai yang terletak di kawasan tinggi serta mempunyai litupan kanopi hutan yang masih tebal.

“Ia tidak terikat pada dua kawasan ini sahaja, mungkin kawasan lain juga ada berlaku tetapi pemantauan ataupun rekod itu tidak menonjol.

“Kita yakin akan ada juga berlaku penurunan suhu (di kawasan lain) tetapi dalam kes ini mungkin dua kawasan ini menunjukkan rekod penurunan suhu yang agak drastik.

“Itulah penjelasan bagaimana faktor morfologi pelebaran sungai menjadi salah satu pemangkin kepada pembentukan embun pada pagi, selain kawasan hutan yang mungkin sudah mula menghijau di Kuala Krai dan Jeli,” katanya.

Frankie juga bersetuju dengan Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Kelantan, Mohd Sani Saayon bahawa situasi itu adalah perkara biasa dan tiada yang istimewa.

“Fenomena cuaca rendah ini berlaku pada musim-musim tertentu dan kemudian di waktu matahari sudah hampir tegak, suhu akan kembali normal,” katanya.

Terdahulu, MetMalaysia Kelantan memaklumkan awan yang berkurangan menyebabkan beberapa daerah di Kelantan termasuk Jeli dan Kuala Krai dilaporkan mengalami cuaca sejuk terutama waktu pagi.

Media sebelum ini melaporkan, Kuala Krai dan Jeli berdepan cuaca sejuk sehingga suhu mencecah 18 dan 19 darjah Celsius pada awal pagi selain keadaan berkabus.

Penduduk turut menyamakan mereka seperti berada di Cameron Highlands kerana cuaca sejuk.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top