Malaysia meraih pengalaman berharga berdepan Jerman dalam aksi pertama Piala Dunia hoki dalam dewan di Croatia pada Isnin. Foto FIH / World Sport Pics
PARA pemain hoki dalam dewan negara meraih pengalaman berguna ketika tumpas 4-12 kepada jagoan dunia, Jerman dalam aksi pertama Piala Dunia di Croatia sebentar tadi.
Biarpun tidak diletakkan harapan untuk melakar kejutan, namun anak buah Rodhanizam Mat Radzi sudah memberikan yang terbaik apabila tampil buat kali pertama dalam kejohanan berprestij tersebut.
Gawang negara bocor seawal minit kedua menerusi ledakan Nicolas Proske yang kemudian menyumbat tiga lagi jaringan.
Ben Hasbach juga tidak ketinggalan untuk melakar sensasi apabila turut menghasilkan empat jaringan.
Turut mencatat nama selaku penjaring buat juara dunia tiga kali itu ialah Paul Dosch, Alec von Schwerin, Anton Boeckel dan Max Silanoglu.
Pemain negara yang tidak mengalah turut mengucar-kacirkan gawang lawan.
Abdul Khaliq Hamirin menyumbat dua gol, manakala Muhammad Firdaus Omar dan Muhammad Najmi Farizal Jazlan masing-masing dengan satu jaringan.
Perjuangan skuad negara belum berakhir apabila akan turun menentang Argentina pada Selasa dan aksi terakhir Kumpulan B ialah berdepan Iran pada 6 Februari.