Kes penipuan umrah sudah semakin meningkat sejak kebelakangan ini, menyebabkan ramai bakal jemaah tertipu dan mengalami kerugian besar.
Menurut laporan Sinar Harian, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengambil tindakan tegas dengan membatalkan lesen Al Quds Umrah & Tours (M) Sdn Bhd bermula 24 Januari 2025.
Lesen dibatalkan serta merta
Pesuruhjaya Pelancongan MOTAC, Datuk Roslan Abdul Rahman, menjelaskan tindakan ini selaras dengan Seksyen 8 Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).
Kementerian ini memandang serius sebarang pelanggaran peruntukan undang-undang oleh pengusahaan pelancongan berlesen demi menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat Malaysia MADANI.
Mangsa masih menunggu pampasan
Sebelum ini, lesen syarikat tersebut telah digantung sejak 9 Julai 2024 hingga 19 Januari 2025 akibat kes penipuan umrah. Ramai mangsa masih menunggu pampasan yang dijanjikan oleh pihak syarikat.
Langkah pembatalan ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk memastikan kebajikan dan hak rakyat terpelihara daripada sebarang penipuan dalam industri pelancongan.
#OhmediaNasihat
Buat semua bakal jemaah umrah, pastikan memilih agensi yang berlesen dan mempunyai reputasi yang baik. Kita juga perlu sentiasa semak dengan MOTAC dan pihak berkuasa untuk memastikan perjalanan ibadah kita tidak terpalit dengan isu seperti ini.