SOP lawatan pelancong ke Masjid Bandaraya Kota Kinabalu ditambah baik

SOP lawatan pelancong ke Masjid Bandaraya Kota Kinabalu ditambah baik

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah mengambil serius dakwaan layanan tidak memuaskan dihadapi pelancong yang berkunjung ke Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, di sini.

Ia berkaitan dakwaan larangan petugas terhadap pelancong yang mengambil gambar dari luar pagar masjid dan layanan kasar diterima mereka ketika berkunjung ke lokasi berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Christina Liew, berkata bagi menyelesaikan isu itu, pihaknya melalui Jawatankuasa Sokongan Industri, Lembaga Pelancongan Sabah (STB) sudah mengadakan pertemuan dengan pihak masjid berhubung dakwaan berkenaan pada 28 Januari lalu.

Katanya, pertemuan itu bagi menyelesaikan isu utama membabitkan pengembara bebas (FIT) yang tiba dengan perkhidmatan e-hailing dan mengambil gambar di lokasi tidak selamat.

“Perbincangan dengan pihak masjid juga mencapai persetujuan mengenai keperluan untuk meningkatkan langkah keselamatan, termasuk pemasangan papan tanda amaran di kawasan penting.

“Selain itu, prosedur operasi standard (SOP) di Masjid Bandaraya juga akan dikaji semula dan ditambah baik bagi memastikan ada panduan yang jelas kepada semua pelawat dan pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, tular rakaman video memaparkan pelancong dilarang mengambil gambar di luar pekarangan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu dengan layanan kasar oleh petugas yang ada di lokasi terbabit.

Susulan itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Arifin Arif selaku menteri bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama negeri menekankan aspek sopan santun terhadap sesiapa saja yang berkunjung ke masjid.

Beliau turut menyatakan satu garis panduan khusus akan diperkenalkan bagi memastikan semua pihak terutama pelancong luar yang mengunjungi masjid dapat mematuhi etika dan adab ketika mengunjungi rumah ibadat di negeri ini.

Sementara itu, Christina berkata kementeriannya melalui STB juga akan melaksanakan beberapa cadangan pendekatan proaktif, termasuk pembabitan pihak berkepentingan dan semakan semula SOP bagi mengukuhkan pengurusan pelawat di Masjid Bandaraya.

“Bagi menyelesaikan isu ini, satu sesi libat urus akan diadakan bulan ini membabitkan Masjid Bandaraya, operator pelancongan, pemandu pelancong berlesen, penyedia e-hailing dan agensi kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).

“Pada sesi itu nanti kita akan memberi taklimat kepada pihak berkepentingan mengenai semakan semula SOP dan mendapatkan maklum balas bagi membetulkan strategi pengurusan pelawat,” katanya.

Beliau berkata, kementeriannya juga akan bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan e-hailing bagi memastikan mereka mematuhi protokol menurun dan mengambil penumpang di Masjid Bandaraya, manakala cadangan lokasi bas pelancong menurunkan penumpang akan dibincangkan dengan JKR.

Christina berkata, cadangan lain bagi menambah baik pengurusan pelancong di masjid berkenaan termasuk penggunaan pakaian seragam petugas dan memberi latihan komunikasi dan perkhidmatan pelanggan yang akan dikendalikan pihak Masjid Bandaraya.

Katanya, kemudahan tandas untuk pelancong juga akan disediakan sebagai usaha meningkatkan keselesaan mereka ketika melawat masjid berkenaan sejajar usaha menjadikan Masjid Bandaraya sebagai destinasi yang terurus dan mesra pelancong.

Masjid Bandaraya Kota Kinabalu yang terletak di Likas, di sini terkenal sebagai antara lokasi tumpuan pelancong di ibu negeri Sabah berikutan keunikan binaannya yang seperti terapung di atas air.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top