JBPM dalam proses dapatkan aset logistik baharu

JBPM dalam proses dapatkan aset logistik baharu

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam proses mendapatkan aset logistik baharu bagi memantapkan lagi perkhidmatan pegawai dan anggota bomba di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Ahmad Izram Osman, berkata pihaknya sudah memulakan proses dokumen untuk perolehan logistik sejak awal Januari lalu, namun jumlah yang akan ditambah masih belum diputuskan.

Katanya, JBPM juga dalam usaha menyegerakan proses berkenaan agar aset logistik dapat diterima serta diguna pakai lebih awal dalam melancarkan lagi perkhidmatan agensi dalam membantu masyarakat.

“Kebanyakan logistik yang dimohon membabitkan kenderaan serta peralatan untuk operasi menyelamat sama ada bagi kejadian kebakaran, banjir atau tanah runtuh.

“Selain itu, kita mahu aset terbabit dibekalkan seawal mungkin supaya kita boleh menggunakan peralatan baharu atau sebagai persediaan jika ada musibah terutama pada hujung tahun.

“JBPM juga sedia bekerjasama dengan agensi keselamatan lain dengan menghulurkan bantuan logistik untuk sebarang keadaan dalam membantu masyarakat yang ditimpa musibah,” katanya dalam sidang media selepas Program Lawatan Kerja dan Sumbangan Kebajikan Pegawai Bomba di JBPM Kelantan, di sini, hari ini

Hadir sama, Pengarah JBPM Kelantan, Farhan Sufian Borhan.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Izram berkata, mobilisasi logistik yang ada di Kelantan masih dikekalkan sehingga berakhir Monsun Timut Laut (MTL) yang dijangka tamat pada Mac nanti.

“Aset logistik yang ditempatkan di ini adalah dari beberapa lokasi seperti Akademi Bomba Wakaf Tapai, Terengganu, Akademi Bomba Wilayah Tengah Kuala Kubu, Selangor termasuk dari Pahang dan Kuala lumpur.

“Kita bersiap sedia jika masih ada lagi gelombang seterusnya memandangkan negeri di Pantai Timur terutama Kelantan berhadapan dengan banjir yang agak besar setiap kali musim MTL ,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top