Seorang jururawat Malaysia berkongsi dirinya kini berdepan dilema besar selepas menerima dua tawaran kerja. Satu di hospital swasta Malaysia dan satu lagi di hospital awam Singapura dengan gaji lebih tinggi.
Menerusi satu perkongsian di Reddit, jururawat tersebut berkongsi bahawa dia menerima tawaran kerja di sebuah hospital swasta Malaysia dengan gaji RM6,100 sebulan.
Malaysia RM6,100 dan Singapura RM14,000?
Selain itu, tawaran ini turut menyediakan faedah perubatan yang melindungi dirinya dan keluarga, serta perjalanan ke tempat kerja hanya mengambil masa sekitar satu jam sahaja dari rumah.
Namun begitu, antara kekurangan bekerja di hospital swasta ini adalah tiada bonus tahunan, kenaikan gaji yang perlahan, peluang kenaikan pangkat yang terhad, dan cuti tahunan hanya sebanyak 14 hari.
Tawaran gaji dan bonus di Singapura lebih baik tapi banyak perkara kena kira…
Sebaliknya, tawaran kedua adalah untuk bekerja di hospital awam di Singapura dengan gaji S$4,400 (lebih kurang RM14,432) sebulan. Selain gaji lebih tinggi, jururawat ini juga akan menerima bonus sehingga 3.6 bulan gaji berdasarkan prestasi serta cuti tahunan sebanyak 21 hari.
Bagaimanapun, faktor yang perlu dipertimbangkan ialah statusnya sebagai seorang isteri. Suaminya tidak memiliki visa kerja di Singapura, menyebabkan mereka terpaksa menetap di Johor Bahru jika dia memilih untuk bekerja di negara tersebut.
Ini bermaksud dia perlu berulang-alik ke Singapura setiap hari, yang boleh menjadi cabaran besar dalam jangka masa panjang.
Netizen Beri Pandangan, Ramai Sokong Tawaran Singapura
Hantaran yang dimuat naik oleh jururawat ini menarik perhatian ramai, di mana kebanyakan netizen menyarankan agar dia menerima tawaran di Singapura kerana peluang kewangan yang lebih baik.
Selain gaji yang lebih tinggi, ramai berpendapat bahawa bonus dan cuti tahunan yang lebih banyak memberikan kelebihan yang ketara berbanding tawaran di Malaysia. Namun, ada juga yang menasihatkan agar dia mempertimbangkan faktor kehidupan peribadi dan kesihatan mental, kerana bekerja di luar negara boleh memberi tekanan yang besar terutama jika perlu berulang-alik setiap hari.
#ApaKataOhmedia
Memilih antara kestabilan atau gaji tinggi bukanlah keputusan mudah, terutama apabila ia melibatkan kehidupan keluarga dan keseimbangan kerja. Sebelum membuat keputusan, penting untuk mempertimbangkan bukan sahaja faktor kewangan tetapi juga kualiti hidup, kesihatan mental dan kebahagiaan jangka panjang.