Segerakan dasar isytihar harta bagi Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Politik – MCW

Segerakan dasar isytihar harta bagi Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Politik – MCW

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa kerajaan segera melaksanakan pengisytiharan harta bagi semua anggota pentadbiran termasuk Menteri, Timbalan Menteri, dan Setiausaha Politik.

Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, kelewatan pelaksanaan dasar berkenaan memberi isyarat negatif kepada rakyat dan menimbulkan persoalan terhadap kesungguhan kerajaan dalam membanteras rasuah.

Menurutnya, perkara itu sudah dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) pada 6 Julai 2023 lalu, namun sehingga kini masih tiada perkembangan.

“Sudah hampir setahun berlalu, tetapi rakyat masih menunggu pelaksanaan pengisytiharan harta.

“Ini bukan sekadar janji reformasi tetapi satu keperluan asas dalam memastikan ketelusan dan akauntabiliti pentadbiran,” katanya dalam surat terbuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Jais berkata, format baharu pengisytiharan harta perlu segera dimuktamadkan seperti dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) pada 8 Januari 2024.

Katanya, tiada sebab atau alasan untuk menangguhkan dasar berkenaan.

“Jika kerajaan benar-benar komited terhadap reformasi dan tatakelola yang baik, tiada sebab melengahkan perkara ini lebih lama.

“Rakyat berhak tahu, dan ketelusan dalam pentadbiran bukan sekadar slogan.

“Pengisytiharan harta adalah langkah asas dan penting bagi memastikan akauntabiliti pemimpin, mengelakkan penyalahgunaan kuasa, serta menutup ruang pengumpulan kekayaan yang mencurigakan,” katanya.

Dalam pada itu, MCW menerusi surat terbuka berkenaan menggariskan tiga tuntutan kepada pihak kerajaan antaranya supaya pihak terbabit menetapkan garis masa yang jelas bagi pelaksanaan pengisytiharan harta.

Selain itu, MCW menekankan supaya pihak kerajaan memastikan format baharu lebih telus dan berkesan segera dimuktamadkan.

Pada masa sama, badan pemantau seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberikan akses kepada maklumat pengisytiharan berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top