Fandi memuji aksi anak-anak buahnya yang ‘all-out’ sekali gus berjaya menempah tiket ke final Piala Malaysia pada Ahad.
PENGENDALI Sri Pahang FC, Fandi Ahmad memuji aksi anak-anak buahnya yang ‘all-out’ sekali gus berjaya menempah tiket ke final Piala Malaysia, apabila mara dengan aggregat 3-2 selepas menundukkan Sabah FC,2-1 dalam aksi separuh kedua di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) pada Ahad.
Menurutnya, pemain telah mempamerkan aksi luar biasa dalam perlawanan tersebut.
“Secara keseluruhannya, perlawanan malam ini (Ahad) memang gila. Pemain begitu berdisiplin dan berjuang bermati-matian untuk meraih kemenangan meskipun terpaksa bermain pada waktu tambahan.
“Saya sangat gembira semua pemain sudah berikan yang terbaik dan sebelum itu saya beritahu mereka, kita tidak boleh kalah di depan penyokong sendiri. Kita juga cuba elak bermain pada waktu tambahan sebab pasti ada yang cedera atau kejang.
“Saya juga memotivasikan pemain dengan meminta mereka fokus, jika mahu lakar sejarah malam inilah kita buat sejarah yang mana apabila masuk ke final orang akan ingat,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.
Pengendali berusia 62 tahun itu berkata, bagi perlawanan tersebut, Pahang menggunakan tiga formasi serentak untuk menyekat kemaraan lawan ke arah kubu pertahanan tuan rumah.
“Perancangan awal kita ialah menekan pemain lawan di tempat mereka, sebab itu kita menggunakan formasi 4-4-2 apabila menyerang, formasi 4-3-3 apabila di tengah dan 4-5-1 apabila berada di belakang.
“Jadi ini menyukarkan mereka untuk masuk ke kawasan kita pada separuh masa pertama tetapi situasi kemudiannya berubah apabila kita melakukan pertukaran pemain dan mereka pula mula melakukan hantaran jauh,” katanya.
Martin mengucapkan tahniah atas kejayaan tuan rumah walaupun mengakui ia situasi yang bukan mudah untuk diterima buat Sabah.
Sementara itu, pengendali Sabah FC, Martin Stano mengucapkan tahniah atas kejayaan tuan rumah walaupun mengakui ia situasi yang bukan mudah untuk diterima buat Sabah.
“Pemain telah melakukan segala-galanya walaupun Pahang mendapat gol awal, kami berjaya bangkit menyamakan keputusan sehingga memaksa perlawanan berlangsung pada waktu tambahan.
“Ia satu aksi yang amat sukar di tempat lawan dengan suasana dan dipenuhi penyokong mereka,” jelasnya.
Dalam pada itu, pengendali kelahiran Slovakia optimis anak buahnya mampu untuk melakar sesuatu pada musim ini iaitu sekurang-kurangnya berada tiga tangga teratas Liga Super.