Dua lelaki dituduh bunuh warga emas, anak angkat

Dua lelaki dituduh bunuh warga emas, anak angkat

ALOR SETAR: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh warga emas dan anak angkatnya dalam kejadian kebakaran rumah di Tongkang Yard, bulan lalu.

Tertuduh, Mohd. Fitri Saiful Rizuan Musa, 29, dan Muhammad Haizan Abdul Rahim, 19, mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Nur Syifa Mohd. Hamzah.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh yang merupakan penganggur.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian ke atas Ibrahim Mydin, 61, dan Muhammad Muslim Mohd. Zaini, 23.

Perbuatan itu didakwa dilakukan kedua-dua tertuduh di rumah nombor 398, Lorong Rose, Jalan Kota Tanah, di sini kira-kira pukul 3.30 pagi, 21 Januari lalu.

Mohd. Fitri Saiful merupakan anak saudara kepada Ibrahim, manakala Muhammad Haizan adalah kenalannya.

Pendakwaan dikendalikan Nur Huda Diyanah Amir Hamzah terhadap dua tertuduh itu dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan kepada kedua-dua tertuduh dan menetapkan 14 Mei depan sebagai sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik. 

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kebakaran sebuah rumah di Tongkang Yard, di sini yang meragut dua nyawa sebelum kematian mereka diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh akibat dendam.

Susulan itu, polis menahan lima suspek termasuk anak saudara salah seorang mangsa berusia antara 19 hingga 53 tahun dengan tiga daripada mereka positif dadah. Siasatan di lokasi oleh forensik bomba dan polis menemukan botol berisi petrol dan kesan petrol di lokasi. – UTUSAN

Scroll to Top