mdroji@bh.com.my
Kuching: Keadaan banjir di Sarawak semakin pulih dengan 32 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah ditutup semalam dan malam tadi.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, banjir di lima daerah yang diisytihar sudah pulih meliputi Kuching, Bau, Asajaya, Saratok dan Kapit.
Berikutan itu, jumlah PPS mangsa banjir yang aktif sehingga jam 8 pagi ini kini berjumlah 46 dengan mangsa yang masih berlindung seramai 10,068 daripada 2,963 keluarga.
Daripada 46 PPS yang masih aktif, Miri memcatat jumlah tertinggi iaitu 13, Serian (9), Bintulu (8), Sibu (6), Samarahan (6) dan Mukah (4).
Bintulu pula mencatat jumlah mangsa tertinggi dengan seramai 4,901, Serian (1,744), Miri (1,391), Sibu (1,147), Samarahan (743) dan Mukah (142).
Banjir luar biasa melanda Sarawak bermula 29 Januari lalu sehingga jumlah yang terpaksa berlindung di 63 PPS mencecah lebih 13,000.
Sementara itu, tiga PPS turut dibuka iaitu dua menempatkan 170 mangsa tanah runtuh di Miri dan satu lagi menempatkan 37 mangsa kebakaran rumah panjang di Kanowit.
© New Straits Times Press (M) Bhd