Ashran Hamsani (kiri) dijangka mengetuai jentera serangan, manakala Najmi Farizal Jazlan bakal memperkukuhkan kubu negara menjelang aksi Piala Dunia Hoki Dalam Dewan menentang Jerman di Croatia.
MALAYSIA sudah bersedia untuk turun beraksi berdepan juara dunia tiga kali, Jerman dalam aksi pertama Kumpulan B Piala Dunia Hoki Dalam Dewan di Croatia pada Isnin.
Biarpun sedar tugas sulit menanti skuad bimbingan Mohd Rodzhanizam Mat Radzi, namun mereka enggan menyerah kalah sebelum berjuang.
Namun dua perlawanan persahabatan menentang Belgium dan Australia diharap dapat membantu mereka untuk memperagakan aksi terbaik di Pusat Sukan Zatika, Porec itu.
“Kami menjangkakan aksi yang sukar menentang Jerman, yang merupakan naib juara kejohanan Eropah tahun lepas,” katanya.
Selepas menentang Jerman, Malaysia bakal menguji juara benua Amerika, Argentina pada Selasa dan juara Asia, Iran pada 6 Februari.
Dalam aksi persahabatan skuad negara tewas 4-5 kepada Belgium dan mengikat Australia 5-5.
“Aksi ini sangat berguna dan para pemain sudah membaiki kelemahan.
“Kecergasan pemain berada pada tahap optimum dan tidak sebarang kecederaan buat skuad,” ujar Mohd Rodzhanizam.
Kumpulan A terdiri daripada juara bertahan dan juara Eropah Austria, Poland, Afrika Selatan dan tuan rumah, Croatia.
Kumpulan C pula dibarisi Australia, Belgium, Namibia serta Trinidad dan Tobago.
Sebagai rekod Malaysia beraksi buat kali pertama pada Piala Dunia selepas muncul finalis Piala Asia 2024 di Kazakhstan Mei tahun lalu.