Rombongan meminang pengantin perempuan di hadapan rumah di Simalungun Sumatera Utara, Indonesia. Foto Agensi
SIMALUNGUN – Seorang wanita di Simalungun Sumatera Utara, Indonesia menjadi tular selepas dilamar seorang jiran yang hanya terletak beberapa meter dari rumahnya, lapor Detik.com.
Kisah mengenai pasangan muda ini menjadi tular selepas dimuat naik dalam akaun TikTok @dwiyantidina.
Ramai netizen menyamakan pasangan ini dalam lagu dangdut terkenal ‘Pacar Lima Langkah’ yang dinyanyikan Ayu Ting Ting.
Video tular berdurasi satu minit menunjukkan keluarga pengantin lelaki membawa hadiah untuk pengantin perempuan yang berada di depan rumah mereka.
Pasangan itu dilaporkan mengadakan majlis pertunangan.
Video itu ditonton 845,700 kali dan mendapat komen mencuit hati di kalangan netizen. Ada yang mendoakan pasangan itu supaya dapat membina mahligai yang kekal sehingga akhir hayat.
Laman web Walipop yang menemui bakal pengantin Ziyana Silvia Saragih menyatakan dia gembira dan terharu selepas dijodohkan dengan jirannya.
“Perasaan saya bercampur baur. Gembira, tetapi kelakar juga, ternyata lagu ‘Pacar Lima Langkah’ benar-benar berlaku kepada saya.
“Kami berkawan sejak kecil dan menjalinkan hubungan sejak awal kolej, ” kata Ziyan.
Tambahnya, dia dan bakal suaminya mengambil keputusan untuk membawa hubungan mereka ke tahap yang lebih serius pada 2024. Malah, hubungan mereka mendapat restu kedua ibu bapa.
“Tiada komen negatif daripada kedua-dua pihak. Mungkin ramai yang beranggapan negatif tentang jodoh lima langkah itu.
“Apa yang penting ia sah di sisi agama dan negara. Ia tidak melanggar peraturan agama. Insya-Allah kita akan cepat kahwin. Tolong doakan kami,” katanya.
Ziyan dan pasangannya, Akbar Maulana mengadakan majlis meminang pada 24 Disember 2024. Kedua-duanya bakal melangsungkan perkahwinan dalam masa terdekat. – Agensi