Manchester: Manchester United mengalami satu lagi kekalahan mengecewakan di laman sendiri apabila tewas 0-2 kepada Crystal Palace di Old Trafford, tengah malam tadi.
Jean Philippe-Mateta muncul wira Palace dengan dua jaringan pada babak kedua, sekali gus menyaksikan United tewas buat kali kelima dalam enam perlawanan liga di laman sendiri.
Kemenangan itu menyaksikan The Eagles mengatasi Red Devils dalam carta liga apabila pasukan bimbingan Oliver Glasner naik ke tangga ke-12.
Tiga kemenangan berturut-turut sebelum ini menaikkan kembali semangat di Old Trafford, tetapi kali ini Ruben Amorim menyaksikan barisan pemainnya mempamerkan aksi hambar apabila kurang kreativiti dan kelemahan ketara di bahagian pertahanan.
Keputusan Amorim untuk memulakan perlawanan tanpa penyerang tulen tidak berhasil apabila Rasmus Hojlund dan Joshua Zirkzee hanya berada di bangku simpanan.
Pemain tengah Kobbie Mainoo diberi peranan sebagai penyerang utama selepas menjaringkan gol dalam kemenangan 2-0 ke atas pasukan Romania, FCSB, pada pertengahan minggu.
Palace membuka tirai jaringan pada minit ke-64 menerusi Jean-Philippe Mateta dan jaringan berkenaan nyata menyentak maruah tuan rumah.
United cuba menggandakan usaha untuk mencari gol penyamaan namun pasukan nyata kekurangan idea.
Mateta sekali lagi meledak jaringan pada minit ke-89.
© New Straits Times Press (M) Bhd