Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar melalui perutusannya dalam Majlis Amanat Tahun 2025 menekankan tiga fokus utama yang bertujuan memperkukuhkan agenda reformasi perkhidmatan awam yang dilihat sebagai keperluan mendesak bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat lebih berkesan dan mampan.
Bertemakan ‘Reformasi: Satu Kemestian’, beliau menggariskan tiga aspek utama yang perlu diberi perhatian sepanjang tahun ini iaitu: Pertama, Memantapkan Pemboleh Daya Reformasi. Pemboleh daya seperti komunikasi total dan pengurusan projek serta kewangan yang cekap ditekankan untuk memastikan pelaksanaan dasar yang lebih proaktif dan strategik.
Kedua, Memperkukuhkan Nilai dan Tatakelola. Melaluinya, perkhidmatan awam diingatkan supaya menanamkan nilai-nilai Malaysia MADANI melalui latihan kendiri bersijil dan program kecekapan kendalian seperti Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Awam (Iltizam). Beliau turut menyeru penjawat awam untuk lebih berintegriti dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran persekitaran global.
Ketiga, Mempertingkatkan Sinergi Strategik Persekutuan – Negeri dan Antarabangsa melalui kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri yang ditekankan melalui pelaksanaan Deklarasi Kuala Lumpur. Selain itu, langkah memanfaatkan hubungan antarabangsa akan dipertingkatkan bagi memperbaiki kedudukan Malaysia dalam indeks global seperti Corruption Perception Index (CPI) dan IMD World Competitiveness Ranking.
Tan Sri KSN turut menegaskan pentingnya komunikasi yang telus dan efektif terutama dalam menangkis penyebaran maklumat palsu yang boleh mencabar kredibiliti kerajaan.
Reformasi adalah satu kemestian untuk kita menjadi lebih baik dan ia memerlukan usaha bersungguh-sungguh daripada semua penjawat awam.
Pada masa sama, penjawat awam diseru untuk terus mengutamakan nilai ihsan, keikhlasan dan profesionalisme dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.
Dalam menyahut seruan Tan Sri KSN ini, penjawat awam perlu memahami dan merenungi setiap amanah dan tanggungjawab yang diberikan kerajaan kepada mereka. Ia perlu diterjemahkan dengan pelaksanaan tugas dan tanggungjawab dengan beramanah, jujur dan berintegriti di samping sedaya upaya memperbaiki kualiti perkhidmatan sedia ada kepada pelaksanaan kualiti terbaik yang mampu dilaksanakan.
Bagi penjawat awam yang beragama Islam, seharusnya pekerjaan yang menjadi asas dan punca rezeki ini dilaksanakan dalam konteks beribadah kepada Allah SWT. Malah dalam konteks seorang Muslim, seluruh aspek kehidupannya perlu dikaitkan dengan ibadah kepada-Nya.
Ibadah bukan sekadar mendirikan solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya. Sekiranya hanya solat dianggap ibadah, ia tidak lebih setengah jam sahaja daripada 24 jam sehari. Sedangkan waktu paling banyak dihabiskan seharian adalah dalam melakukan pekerjaan.
Dalam memastikan seluruh pekerjaan menjadi ibadah, ada tiga syarat yang perlu dipenuhi iaitu, pertama: Niat bekerja hanya kerana Allah SWT semata-mata. Sewajarnya bagi setiap pekerja untuk memperbaharui niat pada setiap hari di awal waktu memulakan pekerjaan dengan mengikhlaskan diri bekerja kerana Allah SWT.
Ikhlas dalam pekerjaan ini diterjemahkan dengan melaksanakan amanah dan tanggungjawab tugasan yang diberikan dengan sebaiknya kerana meyakini bahawa Allah SWT sentiasa melihat segala amalan perbuatan kita.
Daripada Umamah RA berkata, bahawa telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW dan bertanya, “Apakah pendapat tuan tentang seseorang yang berperang dengan tujuan mencari pahala dan kemasyhuran diri dan kelak apa yang akan dia peroleh?” Kemudian Rasulullah SAW menjawab, “Dia tidak mendapatkan apa-apa!” Pertanyaan yang sama diulang sebanyak tiga kali, namun jawapan Rasulullah SAW tetap sama, “Dia tidak menerima apa-apa!” Lalu Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak menerima sesuatu amalan, kecuali yang ikhlas dan hanya mengharapkan reda dari Allah.” (Hadis Riwayat Imam Abu Daud dan Al-Nasaie)
Kedua: Pekerjaan yang dilakukan mesti menepati syarak iaitu tidak bercanggah dengan mana-mana kaedah hukum syarak. Dalam konteks penjawat awam, amat diyakini bahawa semua pekerjaan yang ada adalah selari hukum syarak. Namun, kaedah pelaksanaannya terdedah kepada ketidakpatuhan kepada hukum syarak seperti kecuaian yang disengajakan, penipuan, penindasan dan menjadi lebih parah apabila membatbikan rasuah dan penyelewengan.
Ketiga: Matlamat sesuatu pekerjaan adalah untuk kebaikan seperti mencari nafkah keluarga, memenuhi kelangsungan kehidupan dan seumpamanya. Sudah menjadi lumrah, ada pekerja yang kuat dalam ibadahnya, tetapi ketika melakukan pekerjaan, ada perlakuan yang boleh membatalkan nilai ibadah dalam pekerjaannya seperti perbuatan maksiat, culas dalam menepati masa, tidak menyelesaikan tanggungjawab bahkan ada yang terbabit dengan penyelewengan, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya.
Dalam situasi ini, sifat amanah dan bertanggungjawab perlu diterapkan dan dipraktikkan oleh setiap individu yang bekerja. Ini bagi memastikan setiap pekerjaan yang dilakukan menepati matlamat dan tujuan ditetapkan. Ini kualiti sebenar seorang pekerja Muslim yang perlu diterapkan dalam diri setiap penjawat awam.
Penjawat awam yang beragama Islam juga sepatutnya menjadi contoh tauladan terbaik kepada pekerja lain kerana nilai keagamaan yang tinggi dalam setiap diri seorang Muslim mampu menjadikannya pekerja terbaik.
Manakala kegagalan dalam menunaikan amanah dan tanggungjawab adalah suatu pengkhianatan yang jelas bagi matlamat sesuatu pekerjaan seperti amaran keras oleh Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Anfal: 27)
Rasulullah SAW juga mengingatkan umatnya bahawa mengkhianati amanah adalah ciri kemunafikan yang perlu dijauhi. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda; “Terdapat tiga tanda munafik: Apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji ia memungkirinya dan apabila diberi amanah ia mengkhianatinya”. (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari).
Berdasarkan pengajaran daripada hadis ini, pastinya ketiga-tiga tanda munafik yang disebutkan ini perlu dijauhi dan tidak wajar dibiarkan wujud dalam diri penjawat awam.
Secara lazimnya, azam serta komitmen yang tinggi dalam menjaga amanah diberikan pastinya mendorong seseorang untuk melakukan sesuatu kerja dengan lebih tekun dan bersungguh-sungguh. Dedikasi dalam pekerjaan akan diterjemahkan dengan mencurahkan seluruh masa, tenaga dan pemikirannya untuk memperoleh hasil kerja yang terbaik dan berkualiti. Hasilnya, seorang itu akan dihormati dan dikenali sebagai pekerja Muslim yang baik serta menjadi contoh kepada masyarakat termasuk kepada orang bukan Islam.
Budaya bekerja seperti ini yang dicintai Allah SWT, sebagaimana hadis daripada Aisyah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda; “Sesungguhnya Allah SWT menyukai apabila seseorang kamu melakukan sesuatu pekerjaan, dia melakukannya dengan tekun.” (Hadis Riwayat Imam al-Baihaqi).
Bagi merealisasikan komitmen dalam penjagaan amanah penjawat awam, beberapa perkara perlu diberi perhatian seperti menjaga waktu bekerja, memastikan matlamat utama pekerjaan tercapai serta tidak terjebak kepada penyelewengan seperti pecah amanah, rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Cerminan daripada sifat ini juga dapat dilihat dengan melakukan pekerjaan dengan sebaik mungkin, menggunakan seluruh keupayaan diri, potensi dan kepakaran yang dimiliki dalam melaksanakan tugas yang diberikan tanpa sebarang pengabaian, kecuaian dan penyelewengan. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tunaikanlah amanah kepada orang yang telah menyerahkan amanah (kepercayaan) kepadamu dan jangan engkau khianati orang yang telah mengkhianatimu.” (Hadis Riwayat Imam Abu Daud dan al-Tirmidzi)
Kesimpulannya, perkhidmatan penjawat awam yang terbaik ialah apabila ia disulami sifat ikhlas, takwa dan amanah serta menepati prinsip ajaran Islam sebenar.
Pekerja yang mempunyai sifat amanah sentiasa menghargai dan menepati masa dan sama sekali tidak mengabaikan kualiti kerja yang dilakukan, bahkan ia berusaha memperbaiki diri bagi mendepani cabaran mendatang.
Sejarah membuktikan sifat amanah dan tanggungjawab yang dimiliki junjungan mulia Nabi Muhammad SAW menyebabkan baginda dinobatkan dengan gelaran ‘Al-Amin’ dalam kalangan masyarakat Arab. Contoh tauladan yang baginda tunjukkan ini wajar dijadikan panduan kepada seluruh penjawat awam di Malaysia.
Penulis Pengarah Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (Zawaf) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor
© New Straits Times Press (M) Bhd