am@hmetro.com.my
Hulu Selangor: Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mengaktifkan Kod Kuning susulan tumpahan minyak dari sebuah lori yang terbabit kemalangan di Sungai Bernam, Kampung Serigala, Behrang di sini, hari ini.
Agensi itu menerusi kenyataan memaklumkan kejadian itu berlaku kira-kira jam 1 tengah hari dengan tumpahan daripada kenderaan terbabit sepanjang 100 meter mengalir masuk ke sungai itu.
“Kod Kuning itu mengikut Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air untuk tindakan siasatan menyeluruh serta pencegahan/mitigasi segera.
“Insiden ini berpotensi memberi kesan kepada Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selisek pada jarak 3.2 kilometer (km) dan LRA Bernam River Headwork (BRH) pada jarak 31.5 km,” katanya.
Luas berkata, semakan di lokasi kejadian dan persekitaran mendapati lori yang yang belum dikenal pasti pemiliknya disyaki terbabas dan masuk ke dalam Sungai Bernam.
“Pemantauan statik di LRA BRH segera diaktifkan selain melaksanakan tindakan pencegahan awal dengan meletakkan oil boom di muka sauk.
“Luas juga memantau rapi kerja pengalihan kenderaan dan selesai sepenuhnya dikeluarkan daripada sungai jam 5.15 petang,” katanya.
Sehubungan itu, agensi berkenaan sedang memantau rapi keadaan semasa sungai serta bersiap siaga bagi sebarang kemungkinan.
© New Straits Times Press (M) Bhd