KAHERAH: Menteri-Menteri Luar negara Arab menolak pemindahan rakyat Palestin dari tanah air mereka dalam apa jua keadaan, dengan menyatakan pendirian bersama menentang seruan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump supaya Mesir dan Jordan menerima penduduk Gaza.
Dalam satu kenyataan bersama selepas mesyuarat di Kaherah, menteri-menteri luar dan pegawai dari Mesir, Jordan, Arab Saudi, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Pihak Berkuasa Palestin dan Liga Arab berkata, langkah demikian akan mengancam kestabilan rantau ini, menambah konflik dan merosakkan prospek perdamaian.
âKami menegaskan penolakan kami terhadap apa jua cubaan untuk mengkompromikan hak-hak tidak boleh dipinda rakyat Palestin.
âSama ada melalui aktiviti penempatan, pengusiran atau perampasan tanah atau dengan mengosongkan tanah daripada pemiliknya dalam apa bentuk sekalipun atau di bawah apa jua keadaan atau alasan,â menurut kenyataan bersama itu, semalam.
Mereka juga menyatakan harapan untuk bekerjasama dengan pentadbiran Trump bagi mencapai keamanan yang adil dan menyeluruh di Timur Tengah berdasarkan penyelesaian dua negara.
Mesyuarat berkenaan diadakan selepas Trump baru-baru ini berkata, Mesir dan Jordan sepatutnya menerima rakyat Palestin dari Gaza, yang beliau gelarkan sebagai âtapak perobohanâ.
Apa-apa cadangan agar rakyat Palestin meninggalkan Gaza menjadi sesuatu yang sangat ditentang oleh kepimpinan Palestin selama beberapa generasi dan telah ditolak berulang kali oleh negara-negara Arab sejak perang Israel-Hamas yang bermula pada Oktober 2023. â AGENSI