Fazura sudah besarkan Fatima dengan cara terbaik – Fattah Amin

Fazura sudah besarkan Fatima dengan cara terbaik – Fattah Amin

PETALING JAYA: Pelakon, Fattah Amin tampil membela bekas isterinya, Nur Fazura yang dipersalahkan oleh netizen berhubung video anak perempuannya, Nur Fatima Aisya yang tular tempoh hari lalu.

Kata Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd. Amin, 34, Fazura sudah mendidik puteri kesayangan mereka itu dengan baik selain menyifatkan netizen tidak mengetahui pucuk pangkal jalan ceritanya.

“Itu mummy Fatima, tak sepatutnya orang komen bukan-bukan terhadapnya. Tetapi, saya anggap mereka tidak tahu. Fazura sebenarnya sudah besarkan Fatima dengan cara terbaik.

“Saya sendiri percaya dia sudah menjalankan tanggungjawab sebagai ibu Fatima dan begitu juga saya,” katanya.

Fattah mengulas perkara itu demi meleraikan segala spekulasi dan andaian netizen terhadap Fazura ketika ditemu bual di majlis Hi Tea Rissa Skin x Fattah Amin, semalam.

Dalam masa sama, pelakon drama Hero Seorang Cinderella itu turut menasihatkan orang ramai supaya berfikiran positif dan tidak cepat membuat andaian sekiranya tidak tahu kesahihan cerita disebaliknya.

“Jangan terlalu mudah membuat andaian bukan-bukan dan sentiasa berfikiran positif. Cakaplah yang baik-baik kerana percakapan adalah satu doa dan fikir baik-baik,” jelasnya.

Terdahulu, tular sebuah video Fatima meluahkan perasaan bahawa dia tidak lagi menyayangi aktor itu dalam sebuah siaran langsung di TikTok.

Fattah bagaimanapun memberitahu bahawa anaknya itu sedang merajuk selain menganggap perkara itu normal bagi seorang kanak-kanak.

“Beberapa hari selepas video itu tular, saya ada berjumpa dengan dia dan bertanya kepadanya sama ada dia sayangkan saya atau tidak. Katanya dia sayang.

“Biasalah budak berusia empat tahun, dia bukan seperti orang dewasa bila cakap tidak sayang, benar-benar tidak sayang,” jelasnya.

Scroll to Top