sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Mereka janji akan jelaskan sebelum 15 Februari depan untuk dua bulan (gaji tertunggak) terlebih dahulu dan sebelum raya, akan jelaskan lagi tiga bulan. Harap mereka tepati janji dan bukan main-main bab ini.”
Itu harapan penuh mereka yang berada dalam pasukan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) apabila sehingga kini, difahamkan hampir lima bulan tidak menerima gaji dan membuatkan mereka seperti mengemis hak sendiri kepada majikan.
Kata sumber yang dipercayai, mereka menanti dengan penuh harapan dan berharap kali ini janji manis itu dapat dikotakan agar setiap daripada pemain mahupun pegawai, dapat melunaskan segala tunggakan yang dialami selama ini.
“Baru-baru ini ada perjumpaan untuk berbincang mengenai perkara ini. Mereka janji akan jelaskan sebelum 15 Februari depan untuk dua bulan (gaji tertunggak) dan sebelum raya, akan jelaskan lagi tiga bulan. Harap mereka tepati janji dan bukan main-main bab ini.
“Untuk bulan Februari, March dan April, mereka hanya akan bagi elaun sahaja untuk pemain yang nak bermain dalam perlawanan itu,” kata sumber dalam nada yang penuh sayu.
Tambahnya, kebanyakan pemain yang tinggal di rumah sewa juga sudah balik ke rumah masing-masing kerana faktor gaji ini dan hanya akan berkumpulan pada hari perlawanan sahaja.
“Ada beberapa rumah sewa untuk pemain tinggal tetapi sekarang sudah tutup kerana tidak boleh nak bayar sewa. Malah kami sudah dua bulan tidak berlatih dan terus beraksi pada hari perlawanan,” katanya.
Melihat situasi semakin serius, beberapa pemain juga terpaksa mengambil langkah seterusnya dengan cara melaporkan terus kepada Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) untuk membantu menangani isu tunggakan gaji itu.
Sebelum ini, khabar ini pernah melaporkan walaupun sudah memberi tempoh seminggu sejak pendedahan Arena Metro pada 6 Januari lalu mengenai tunggakan gaji pemain KDN FC, sehingga kini isu terbabit masih belum diselesaikan pengurusan pasukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd