am@hmetro.com.my
Kuala Selangor: Sudah jatuh ditimpa tangga. Itu situasi menggambarkan nasib 34 penghuni Pusat Jagaan Warga Tua Selangor Relief Agency (SRA) apabila mereka menunggu masa untuk diusir keluar.
Pengasasnya, Sharil Hussein, 43, berkata, keadaan itu berlaku susulan kekurangan dana untuk membiayai operasi premis yang disewa sejak empat tahun lalu.
Beliau berkata, pihaknya diberi tempoh selama lima bulan atau pada Mei ini untuk mengosongkan rumah terbabit.
“Kekangan ini berlaku selepas Lembaga Zakat Selangor (LZS) memotong peruntukan 27 penghuni yang berdaftar bagi membiayai kos makanan, penginapan dan pengurusan dari RM1,850 kepada RM800 sebulan sejak empat tahun lalu.
“Sejak 2021 hingga kini, setiap bulan kami menerima RM16,500 keseluruhan bantuan LZS itu namun ia tidak mencukupi bagi menampung kos operasi pusat ini yang menelan belanja antara RM45,000 hingga RM50,000 sebulan.
“Ia juga merangkumi kos gaji petugas, makan, minum, air, elektrik dan sebagainya,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada lawatan Persatuan Pembangunan Bersatu Malaysia (MAYDA) yang diketuai Presidennya, Sazarul Zakry Zainal Abidin.
Pada masa sama, Sharil memaklumkan, Pusat Jagaan Warga Tua SRA yang beroperasi sejak 1 Januari 2020 mula dibebani dengan masalah kewangan sejak Jun tahun lalu.
“Saya ada niat untuk menutup pusat jagaan ini, tetapi mengenangkan semula penghuninya, saya rasa perlu bertahan sehingga ke hari ini,” katanya.
Dalam pada itu, Sharil berkata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa lokasi sesuai dan bercadang memindahkan kesemua 34 penghuni sedia ada sekiranya mendapat bantuan kewangan yang mencukupi.
© New Straits Times Press (M) Bhd