Google labur RM9.4 bilion lagi di Malaysia – Tengku Zafrul

Google labur RM9.4 bilion lagi di Malaysia – Tengku Zafrul

SYARIKAT gergasi teknologi, Google bakal melabur lagi RM9.4 bilion bagi pembangunan Pusat Data Google dan Wilayah Awan Google pertama di Malaysia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pelaburan terbesar dibuat Google itu dijangka membawa impak positif dan limpahan ekonomi mencecah keseluruhan RM15 bilion kepada negara.

“Ini termasuklah 26,500 peluang pekerjaan yang bukan sahaja hasil daripada pelaburan asing langsung (FDI), malah dari segi pembangunan ekosistem yang menyokong dan dirangsang pelaburan tersebut.

“Pelaburan (itu) akan bertempat di Elmina Business Park, sebuah taman industri yang dibangunkan oleh Sime Darby Property,” katanya dalam hantaran video di laman Facebook pada Khamis.

Tengku Zafrul berkata, pelaburan berkenaan merangkumi pembangunan Pusat Data Google pertama dan Wilayah Awan Google Cloud untuk memenuhi permintaan perkhidmatan awam yang semakin meningkat bukan hanya di Malaysia malah di seluruh dunia.

Ujarnya, Google juga akan membangunkan program Literasi Kecerdasan Buatan (AI) untuk pelajar dan pendidik di Malaysia.

“Sehubungan itu, MITI akan terus berusaha untuk menarik pelaburan berkualiti bagi mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Pada 29 Mei 2024, media melaporkan syarikat gergasi teknologi, Google akan melabur AS$2 bilion (RM9.4 bilion) di Malaysia, merangkumi pembangunan pusat data pertama Google di Malaysia dan Wilayah Awan Google.

Langkah berkenaan perlu untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan awan, di peringkat tempatan mahupun global serta program literasi AI untuk pelajar dan pendidik di negara ini.

Ketua Pegawai Kewangan Alphabet dan Google, Ruth Porat berkata, pusat data pertama Google dan Wilayah Awan Google adalah pelaburan terbesar syarikat berkenaan yang dirancang setakat ini di Malaysia.

“Pelaburan ini dibina atas kerjasama kami dengan kerajaan Malaysia untuk memajukan ‘Dasar Cloud First’, termasuk piawaian keselamatan siber tertinggi.

“Dengan pengumuman hari ini (tahun lepas), Malaysia dan Google bekerjasama untuk memajukan usaha bersama kami dalam mencipta ekosistem yang menyokong inovasi dan membuka potensi transformasi digital,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Menurut Google, pelaburannya dijangka menyokong limpahan ekonomi lebih AS$3.2 bilion (RM15.04 bilion) dalam impak ekonomi positif dan mewujudkan 26,500 pekerjaan di Malaysia menjelang tahun 2030.

Katanya, pusat data itu akan memperkasakan perkhidmatan digital popularnya seperti Search, Maps dan Workspace yang digunakan setiap hari oleh berbilion individu dan organisasi di seluruh dunia termasuk Malaysia.

“Ia (pusat data itu) juga akan memainkan peranan penting dalam membolehkan Google menyampaikan manfaat Al kepada pengguna dan pelanggan di seluruh negara.

“Apabila beroperasi, Malaysia akan menyertai 11 negara lain yang mengendalikan pusat data untuk memberikan perkhidmatan kepada pengguna di seluruh dunia,” katanya.

Mengenai Wilayah Awan Google katanya, ia akan menyediakan perkhidmatan berprestasi tinggi dan latensi rendah kepada perusahaan besar, syarikat pemula dan organisasi sektor awam.

Scroll to Top