Paris: Penyokong kelab Belanda, Feyenoord, dilarang melakukan perjalanan ke Perancis bagi menyaksikan pertembungan Liga Juara-Juara menentang Lille awal pagi esok susulan kebimbangan terhadap risiko keganasan antara peminat dan pihak berkuasa.
Keputusan itu dikekalkan oleh Majlis Negara Perancis di Paris selepas menolak rayuan Feyenoord dan kumpulan penyokong FSV de Feijenoorder dalam usaha terakhir untuk membatalkan larangan berkenaan.
“Keputusan ini dibuat walaupun kelab berusaha keras, termasuk membawa kes ini kepada Kesatuan Bolasepak Eropah (Uefa) serta mengemukakan pelan terperinci yang boleh memastikan 2,000 penyokong pelawat ke Lille dalam keadaan selamat dan bertanggungjawab,” kata Feyenoord dalam satu kenyataan.
Feyenoord mengakui kekecewaan mereka selepas prosiding itu tidak berpihak kepada mereka, namun terpaksa menerima keputusan dengan hati terbuka selepas melakukan segala yang termampu bagi memastikan kehadiran penyokong di Stade Pierre Mauroy.
Walaupun Feyenoord dan Lille tidak pernah bertemu sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri Perancis menegaskan keputusan itu berdasarkan rekod lampau keganasan membabitkan penyokong Feyenoord di Perancis, termasuk insiden di Nancy pada 2006 dan Marseille pada 2022 yang mengakibatkan tangkapan, kecederaan serta kerosakan harta benda besar.
Pihak berkuasa turut mendedahkan bahawa daripada 3,600 penyokong Feyenoord yang dijangka ke Lille, kira-kira 500 dikenal pasti sebagai berisiko tinggi.
Selain itu, 1,000 penyokong tanpa tiket berkemungkinan mencuba memasuki stadium secara paksa atau mencetuskan provokasi di lorong-lorong sempit sekitar Lille memandangkan hanya 2,600 tempat duduk diperuntukkan kepada kelab pelawat.
Keputusan ini pastinya mengecewakan penyokong setia Feyenoord yang berharap untuk memberikan sokongan secara langsung, namun Perancis tidak mahu mengambil risiko berdepan dengan rusuhan bola sepak yang boleh mencetuskan kekacauan lebih besar.
© New Straits Times Press (M) Bhd