
Pendakwa raya Korea Selatan pada Sabtu sekali lagi memohon untuk melanjutkan tempoh penahanan Presiden Yoon Suk Yeol bagi siasatan berhubung percubaan melaksanakan undang-undang tentera yang gagal bulan lepas.
SEOUL – Pendakwa raya Korea Selatan pada Sabtu sekali lagi memohon untuk melanjutkan tempoh penahanan Presiden Yoon Suk Yeol bagi siasatan berhubung percubaan melaksanakan undang-undang tentera yang gagal bulan lepas, selepas Mahkamah Seoul menolak permohonan mereka sehari sebelumnya.
Menurut Agensi Berita Yonhap, hanya empat jam selepas permohonan itu ditolak, pasukan pendakwaan khas yang menyiasat kes Yoon mengemukakan permohonan baharu di Mahkamah Daerah Pusat Seoul untuk melanjutkan tempoh penahanan Yoon sehingga 6 Februari, menurut penyiasat.
Permohonan itu dibuat selepas Pejabat Siasatan Rasuah untuk Pegawai Tertinggi (CIO) menyerahkan kes itu kepada pihak pendakwaan.
“Memandangkan kes terdahulu yang mana pendakwa raya menjalankan siasatan tambahan, termasuk serbuan, ke atas kes yang diserahkan oleh CIO serta berdasarkan peraturan Akta Tatacara Jenayah, hak pendakwa untuk siasatan tambahan sememangnya diiktiraf,” kata pihak pendakwa. “Oleh itu, terdapat keperluan untuk melanjutkan tempoh penahanan.”
Pada Jumaat, Mahkamah Daerah Pusat Seoul menolak permohonan lanjutan penahanan itu dengan alasan bahawa tiada sebab kukuh untuk meneruskan siasatan memandangkan CIO telah pun menyiasat kes itu dan merujuknya kepada pihak pendakwaan dengan permintaan untuk pendakwaan dibuat.
CIO sebelum ini menyerahkan kes itu kepada pihak pendakwaan kerana agensi itu tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk mendakwa seorang presiden.
Agensi penguatkuasaan undang-undang sedang menyiasat Yoon atas dakwaan beliau merupakan dalang di sebalik pelaksanaan undang-undang tentera pada 3 Disember yang mencetuskan pergolakan politik yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Yoon berdepan tuduhan bersekongkol dengan bekas Menteri Pertahanan Kim Yong-hyun dan pihak lain untuk mencetuskan rusuhan dengan mengisytiharkan undang-undang tentera serta menyalahgunakan kuasanya dengan menghantar tentera ke Parlimen bagi menghalang penggubal undang-undang daripada membatalkan dekri itu.
Yoon kini ditahan di Pusat Tahanan Seoul di Uiwang, selatan ibu negara, sementara perbicaraan Mahkamah Perlembagaan sedang berlangsung untuk menentukan sama ada pendakwaannya oleh Parlimen akan dikekalkan atau ditolak.
Sekiranya mahkamah mengekalkan pendakwaan, beliau akan disingkirkan daripada jawatan, dan pilihan raya presiden perlu diadakan dalam tempoh 60 hari. Jika pendakwaan itu diketepikan, Yoon akan dikembalikan ke jawatan asal. – Bernama/Yonhap