Gara-gara tak bayar bil, kejohanan LPGA dibatalkan

Gara-gara tak bayar bil, kejohanan LPGA dibatalkan

California: Kejuaraan Fir Hills Seri Pak tidak akan dilangsungkan seperti yang dijadualkan pada musim bunga ini akibat kekurangan dana untuk pembayaran berdasarkan kepada kenyataan LPGA.

Kejohanan itu dijadualkan berlangsung pada 20-23 Mac di Palos Verdes Golf Club, Palos Verdes Estates, California.

“Pembatalan acara pada tarikh seperti dinyatakan adalah tidak dapat dielakkan disebabkan oleh kegagalan penaja acara untuk memenuhi sebarang kewajipan pembayaran kepada LPGA Tour untuk acara 2024 dan 2025.

“LPGA akan bekerjasama dengan rakan strategik kami yang komited, Fir Hills, legenda LPGA Seri Pak serta semua pihak berkepentingan untuk meneroka pilihan yang ada bagi menjadualkan semula acara ini selepas isu ini diselesaikan dengan penaja,” kata LPGA dalam satu kenyataan media.

Mengikut rekod, Nelly Korda memenangi acara berhadiah 2 juta USD itu pada 2024.

Liz Moore, pesuruhjaya sementara LPGA, berkata pembatalan itu mengecewakan pegawai tour.

“Kami memohon maaf atas impak ini kepada pemain kami, serta peminat, rakan kongsi, dan sukarelawan.

“Kami juga ingin menyampaikan rasa terima kasih yang tulus kepada kakitangan dan ahli Palos Verdes Golf Club, Palos Verdes Estates, serta pengendali kejohanan, Outlyr, atas kerjasama dan hospitaliti mereka yang luar biasa,” katanya.

Pak, yang berasal dari Korea Selatan, bermain di LPGA Tour dari 1996 hingga 2016 dan memenangi 25 kejohanan, termasuk lima major. Beliau dimasukkan ke dalam World Golf Hall of Fame pada 2007.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top