Penyanyi Runaway julung kali beraksi di Malaysia

Penyanyi Runaway julung kali beraksi di Malaysia

Kuala Lumpur: Penyanyi dan penulis lagu dari Norway, Aurora buat julung kali mengadakan konsert solo di negara ini sempena Konsert siri jelajah, What Happened To The Earth? Part 4: Aurora Live In Kuala Lumpur.

Aurora atau nama sebenarnya, Aurora Aksnes, 28, dijadualkan menghiburkan peminat di negara ini pada konsert di Zepp Kuala Lumpur pada 2 Februari ini.

Wakil penganjur, Shamil Yusof, berkata selain populariti pemilihannya berdasarkan persembahan unik ditampilkan penyanyi itu antara faktor menarik minat pihak Neptunes Presents untuk mengadakan konsert pertamanya di ibu negara.

“Aurora dikenali sebagai seorang daripada penyanyi dan pemuzik puitis menerusi karya nyanyiannya.

“Pemilihannya berdasarkan permintaan peminat di negara ini yang sudah lama menantikan kemunculannya.

“Dalam masa sama, Aurora adalah artis antarabangsa yang memperjuangkan hak asasi dan kemanusiaan demi Palestin,” katanya.

Menurut Shamil lagi, Aurora dijangka menyampaikan 15 rangkaian lagu popular dalam tempoh lebih satu jam di konsert itu.

“Turut memeriahkan konsert penampilan penyanyi dan penulis lagu popular dari Indonesia, Nadin Amizah sebagai penyanyi undangan untuk segmen pembukaan.

“Nadin sendiri peminat Aurora sejak pembabitannya dalam dunia muzik. Konsep persembahannya juga santai dan boleh dikatakan seiring dengan muzik Aurora,” katanya.

Mengulas mengenai penjualan tiket pula, Shamil berkata, ia mendapat sambutan memberangsangkan dengan 75 peratus sudah terjual sejak dibuka kepada orang ramai.

Aurora mula menempa nama di peringkat antarabangsa menerusi single pertama berjudul Runaway pada 2015 yang kemudian tular beberapa tahun kemudian.

Selain Runaway, antara lagu hit yang meniti di bibir peminat ialah Queendom dan Cure For Me.

Terdahulu, Aurora menjayakan konsert di Manila pada 31 Januari tahun lalu. Sehari selepas Kuala Lumpur, Aurora akan meneruskan konsert jelajah di Singapura pula.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top