surayaroslan@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Pemimpin PKR Sarawak didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana mengeluarkan kenyataan menerusi Facebook yang berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong, empat tahun lalu.
Hakim Datuk MM Edwin Paramjothy memutuskan aktivis, Iswardy Morni, 48, bersalah atas pertuduhan itu.
Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda terbabit.
Edwin berkata, tertuduh dikenakan hukuman itu selepas mengambil kira lelaki itu tidak mempunyai rekod kesalahan yang sama.
Pada 30 Disember tahun lalu, mahkamah mendapati, pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan tertuduh.
Bagaimanapun, mahkamah menetapkan hari ini untuk mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan yang mewakili Iswardy sebelum menjatuhkan hukuman.
Mengikut pertuduhan, Iswardy didakwa mengeluarkan kenyataan melalui Facebook dengan menyebut kata-kata menghasut yang mempunyai kecenderungan bagi mendatangkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di sini pada 3 petang, 29 Mei 2021.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd