Tular di media sosial baru-baru ini mengenai satu video di laman TikTok berkenaan seorang lelaki warganegara Bangladesh dengan ‘bangganya’ memberitahu telah menetap di Malaysia selama 6 tahun tanpa permit.
Tambahan pula, warga asing tersebut sempat berjenaka dan membandingkan pihak penguatkuasa di Malaysia dan di Arab Saudi.
Telahpun keluar dari Malaysia…
Jabatan Imigresen Malaysia telah ambil maklum tentang kes berkenaan dan menyiasat dakwaan lelaki warganegara Bangladesh itu lalu mengesahkan yang dia sudah tidak berada lagi di Malaysia pada 2021.
Lelaki warga Bangladesh itu dikesan telah keluar dari Malaysia pada 2021. Tiada rekod lelaki itu memasuki Malaysia semula selepas itu dan berdasarkan rekod juga dia memiliki pas lawatan kerja sementara (PLKS) yang sah sehingga 2 April 2022 – Kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban.
Selain itu, dakwa lelaki warganegara Bangladesh tersebut, dia pernah bekerja di beberapa premis bangunan di sekitar ibu negara.
Akan terus pertingkatkan operasi penguatkuasaan…
Jabatan Imigresen Malaysia serius dan tidak memandang enteng isu berkenaan pendatang tanpa izin (PATI) di Malaysia dan berharap dapat kerjasama dari orang ramai untuk membantu mereka banteras masalah ini.
Kami akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dan mengambil tindakan terhadap warga asing yang melanggar undang-undang imigresen, termasuk mereka yang tidak memiliki dokumen sah. – Kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban.
Zakaria berkata, pihaknya amat menggalakkan masyarakat untuk memainkan peranan aktif dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan isu pendatang asing tanpa izin (PATI) kepada pihak berkuasa supaya indakan segera dapat diambil oleh pihak berkuasa bagi menangani masalah ini secara berkesan demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan semua pihak.
#OhmediaNasihat
Bagi Ohmedia, demi menjaga kedaulatan negara, ianya tidak dihadkan kepada satu entiti atau pihak sahaja. Rakyat Malaysia mestilah menggembleng tenaga bersama pihak penguatkuasa dalam memastikan keselamatan negara sentiasa terpelihara.
Masyarakat harus lebih proaktif dengan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan atau kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) kepada pihak berkuasa agar mereka dapat mempertingkatkan operasi penguatkuasaan serta menangani isu ini dengan lebih efektif.