2 pegawai bomba terkena renjatan elektrik ketika padam kebakaran

2 pegawai bomba terkena renjatan elektrik ketika padam kebakaran

am@hmetro.com.my

Putatan: Dua pegawai bomba cedera terkena renjatan elektrik ketika operasi memadam kebakaran tingkat empat sebuah bangunan di Jalan Pantai Berahi, Petagas, di sini, malam tadi.

Amran Amir, 34, terpaksa dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu oleh jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut.

Manakala, Sharif Faizul, 38, menerima rawatan di lokasi kejadian oleh pasukan EMRS. Keadaan kedua-dua mangsa bagaimanapun dilaporkan stabil.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 11.59 malam.

Katanya, 37 pegawai dan anggota dari BBP Putatan dengan dibantu BBP Penampang dan Kota Kinabalu bersama empat jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak tiga kilometer dari balai bomba.

“Setiba di lokasi, komander operasi lapor kebakaran membabitkan sebuah rumah atas kedai di tingkat empat terbakar sepenuhnya.

“Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dua anggota bomba terkena renjatan elektrik ketika operasi.

“Seorang anggota dihantar ke HQE Kota Kinabalu, dan seorang anggota lagi hanya menerima rawatan daripada pasukan EMRS dan kedua-dua dalam keadaan stabil.

“Tiada mangsa awam dilaporkan terbabit dan operasi terkawal pada 12.40 tengah malam,” katanya.

Tambahnya, operasi pemadaman api sepenuhnya berjaya dilakukan pada 1.40 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan unit forensik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top