Serdang: Polis menjalankan siasatan terhadap seorang individu yang didakwa menggunakan gelaran Datuk Seri palsu dan disyaki memberikan rawatan kecantikan dan kesihatan tanpa lesen di Puchong di sini.
Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pihaknya terkesan dengan hantaran di media sosial berkenaan isu doktor bergelar Datuk Seri palsu itu yang didakwa memberikan rawatan tanpa sebarang lesen dan pengiktirafan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta jabatan-jabatan berkaitan.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3 Akta Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Anugerah 2017 kerana menggunakan anugerah tidak diiktiraf.
“Hasil perkongsian maklumat itu, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menyerbu premis berkenaan pada Selasa lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, MBSJ mengesahkan premis berkenaan tidak mempunyai lesen sah bagi menjalankan perkhidmatan pusat kecantikan dan penjagaan kesihatan itu.
“Tindakan notis dan sitaan sudah dibuat oleh pihak MBSJ dan kes masih dalam siasatan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan komentar yang boleh mengganggu proses siasatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd