Tak sampai hati kalau tak bagi duit

Tak sampai hati kalau tak bagi duit

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Rata-rata orang ramai yang ditemui menyatakan mereka tidak sampai hati untuk membiarkan pengemis tanpa menghulurkan sumbangan terutamanya membabitkan pengemis warga tempatan di sekitar ibu negara.

Peniaga, Norhayati Abi, 45, berkata dia hanya memberikan sumbangan kepada pengemis dalam kalangan warganegara Malaysia.

“Kita beri sumbangan pun tengok juga. Orang Malaysia dengan warga asing tak sama. Saya hanya beri sumbangan kepada orang Malaysia sahaja bagi membantunya.

“Kalau warga asing kadang-kadang mereka sengaja mengemis bila datang ke sini. Kalau nak ikutkan, rakyat Malaysia lagi ramai yang susah berbanding mereka,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menegaskan memberi wang secara langsung kepada pengemis tidak dapat membantu mereka keluar daripada kesusahan.

Mengakui rakyat negara ini terkenal sifat pemurah dan rasa prihatin terhadap mereka yang memerlukan, Nancy berkata, pemberian itu boleh menyebabkan masalah berkenaan berterusan.

Dalam pada itu, suri rumah, Hamadah Mohd Idris, 37, turut menyatakan dia akan melihat keadaan fizikal pengemis itu terlebih dahulu sebelum menderma.

Hamadah berkata, dia juga kini kurang memberikan sumbangan kepada pengemis kerana semakin banyak isu melibatkan mereka yang menipu dan daripada kumpulan sindiket.

“Saya memilih dalam memberikan sumbangan. Contohnya kalau pengemis itu tidak ada kaki atau tangan saya akan beri.

“Tapi kalau saya tengok dia macam ok, muka sahaja kesian, saya tak akan berikan sumbangan,” katanya.

Selain itu, Hamadah turut menggesa agar kerajaan sentiasa membuat rondaan dan tangkapan secara kerap terhadap pengemis bagi mengelakkan kegiatan ini semakin berleluasa.

Bagi pekerja swasta, S Muniandy, 51, dia akan memberikan sumbangan kepada pengemis tidak kira sama ada warganegara Malaysia atau asing.

Bagaimanapun katanya, jumlah sumbangan yang diberikan kepada pengemis hanyalah sekadar mereka untuk membeli makanan.

“Paling tinggi saya beri RM10. Tapi selalunya saya beri RM1 atau RM2 sahaja. Saya beri disebabkan tak nak mereka ini lapar dan pengsan.

“Dengan duit sumbangan itu, sekurang-kurangnya bolehlah mereka membeli makanan untuk alas perut,” katanya.

Bantu pengemis guna cara lebih teratur

Tadah bakul sekejap dapat RM38

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top