Nama selebriti popular, Rozita Che Wan, atau lebih dikenali sebagai Che Ta baru-baru ini hangat diperkatakan susulan isu hutang MARA melibatkan syarikatnya, RCW Worldwide Sdn Bhd.
Pada Disember lalu, Che Ta sudah membuat bayaran tertunggak sebanyak RM550,000 manakala baki hutang akan dijelaskan sepenuhnya sebelum penghujung Mac.
Che Ta bertanggungjawab, kerja keras ubah nasib keluarga
Memetik laporan Kosmo!, adik kepada Che Ta iaitu Rubythoh Abu Bakar tampil mempertahankan kakaknya itu.
Menurut Ruby, yang juga isteri kepada pelawak Mazlan Pet Pet, Che Ta bukan seperti yang digambarkan orang ramai.
Dia pula jenis tak mengadu, mungkin enggan emak dan adik-beradik susah hati tapi saya yakin Kak Ta dapat selesaikan hal tersebut kerana dia orang yang bertanggungjawab. Dulu waktu kecil kami sekeluarga susah tetapi Kak Ta jaga kami. Dia bekerja keras mengubah nasib keluarga.
Jelasnya, Che Ta seorang individu bertanggungjawab dan sentiasa tenang menyelesaikan hal peribadi walaupun dihujani kata-kata negatif.
Ruby mendedahkan, sejak kecil Che Ta telah bekerja keras untuk mengubah nasib keluarga mereka yang serba kekurangan.
Walaupun kini semua adik-beradik sudah berkeluarga, Che Ta masih membelikan baju raya pada setiap tahun dan dialah yang menjaga ibu mereka.
“Ujian untuk Allah angkat lagi darjat dia” – adik Che Ta
Saat berdepan kontroversi hangat ini, Che Ta juga sangat tenang dan yakin Allah SWT ada untuk membantunya. Jadi, Ruby percaya setiap yang berlaku adalah ujian Allah, bukan musibah besar.
Orang tak tahu cerita tapi apabila berdiam, dia dihentam. Hanya dia yang tahu kebenaran dan bagi saya ini bukan musibah buat Kak Ta, sebaliknya ujian untuk Allah angkat lagi darjat dia kerana Allah tahu dia mampu harunginya.
Mazlan Pet Pet, adik ipar Che Ta, turut memuji sikap dermawan dan baik hati kakak iparnya itu. Menurutnya, Che Ta sering menanggung perbelanjaan seperti ketika mereka sekeluarga mengerjakan umrah bersama.
Malah, Che Ta langsung tidak berkira dan akan menempah katering setiap kali keluarga besar berkumpul kerana tidak mahu menyusahkan sesiapa memasak.
Mazlan berharap orang ramai tidak menghentam dan membuka aib kerana tidak mengenali keperibadian Che Ta sepenuhnya.
#OhmediaNasihat
Kita perlu berhati-hati dalam menilai seseorang berdasarkan khabar angin atau spekulasi. Kisah Che Ta mengajar kita untuk tidak menghukum tanpa memahami situasi sebenar. Sokongan keluarga juga sangat penting dalam menghadapi cabaran hidup.