am@hmetro.com.my
Shah Alam: Pusat Asuhan Kanak-Kanak (taska) di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat, yang dipercayai terbabit dalam kes kematian bayi lelaki berusia empat bulan pada awal bulan lalu, diarahkan tutup secara terus.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor Anfaal Saari berkata, arahan itu dibuat kerana operator taska berkenaan akan menghadapi pendakwaan di mahkamah mengikut Akta Kanak-Kanak.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sudah meminta ibu bapa kanak-kanak lain untuk menghantar anak masing-masing ke taska lain.
“Difahamkan, kertas siasatan hampir selesai dan pendakwaan akan dilakukan dalam masa terdekat. Ia (taska) kekal ditutup kerana mereka tidak berdaftar dan ada kes membabitkan Akta Kanak-Kanak,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Himpunan Wanita Selangor di sini, hari ini.
Ketika ditanya adakah benar taska berkenaan dalam proses pendaftaran di bawah JKM, Anfaal berkata, semakan jabatan itu mendapati proses berkenaan belum dimulakan.
“Disebabkan tiada kelulusan, (tidak pasti) sama ada proses itu masih di peringkat taska (belum dihantar kepada JKM). Tapi di peringkat JKM, ia belum melalui proses permohonan kelulusan,” katanya.
Harian Metro sebelum melaporkan polis mengesan unsur kecuaian yang menyebabkan kematian bayi lelaki di taska berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd