Kota Bharu: Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) menggagalkan cubaan menyeludup tanaman hiasan dan tumbuhan dengan anggaran nilai rampasan berjumlah lebih RM900,000 termasuk kenderaan pada 16 dan 17 Januari lalu.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata dalam Op Taring Wawasan Kelantan di sekatan jalan raya Lalang Pepuyu, Tanah Merah pada Khamis, pasukannya menahan sebuah lori dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
“Dalam kejadian 5.30 petang itu, seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan dan pemeriksaan menemukan 1,500 pelbagai jenis anak pokok dipercayai diseludup dari Thailand yang mempunyai kulat dan serangga perosak.
“Suspek dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup tumbuhan berkenaan ke pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nik Ros Azhan berkata rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM215,000 termasuk nilai kenderaan dan kes disiasat di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167) Seksyen 5.
Sementara itu, beliau berkata dalam kes di Chabang Empat, Tumpat, anggota PGA turut menahan sebuah lori 12.15 pagi semalam dan pemeriksaan menemukan 3,800 pelbagai jenis anak pokok orkid dan dua kotak pancang buluh dipercayai diseludup dari Thailand.
Nik Ros Azhan berkata dua lelaki berusia 37 dan 34 tahun dipercayai menjadi penghantar ditahan dengan rampasan keseluruhan termasuk kenderaan dianggarkan bernilai RM720,300 dan kes disiasat di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167).
“Suspek dan kesemua barang rampasan seperti tanaman hiasan, tumbuhan, pokok orkid serta pancang buluh dibawa ke Komtak Taman Bakti untuk tindakan lanjut,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd