Kisah celoteh Ume

Kisah celoteh Ume

hafizithnin@mediaprima.com.my

Apabila mendengar gadis berusia 32 tahun ini bercerita di media sosial ibarat si pendengar ‘tidak cukup nafas’ kerana kelajuannya menceritakan kisah hariannya.

Kemampuannya bercakap laju yang kadang-kala bersulam jenaka membuatkan mereka yang menonton pasti tersenyum atau ketawa sendiri.

Sebenarnya ketika penulis menemu bual anak kelahiran Tangkak, Johor yang juga mempunyai ijazah sarjana muda kejuruteraan pembuatan dalam robotik dan automasi ini, cara percakapan sebenarnya bukanlah seperti di media sosial.

Malah, Ume Ashikien M. Azhar mengakui dia pemalu dan pendiam. Cumanya ketika di media sosial, ekspresi ditonjolkan berbeza.

“Saya tidak suka digelar sebagai pempengaruh media sosial kerana bagi saya, apa yang dilakukan di media sosial itu perkongsian diri saya secara peribadi untuk tontonan ramai.

“Malah, pada masa sama ia menjadi platform saya menjual produk makanan dihasilkan sendiri. Jadi, tiada istilah saya pempengaruh,” katanya.

Ume berkata, dia mula aktif di media sosial ketika Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) sekitar 2020 dan ketika itu dia mula mencari cara melariskan jualan acar ikan masin yang dihasilkan secara kecil-kecilan.

“Ketika itu, saya melihat media sosial boleh menjadi platform untuk saya membuat pemasaran secara lembut menerusi perkongsian aktiviti harian yang saya lakukan bersama keluarga dan rakan.

“Saya tidak menyangka video penceritaan saya yang bercakap laju tular di media sosial dan sehingga hari ini, saya masih menghasilkan kandungan seperti itu,” katanya.

Bercerita mengenai latar belakangnya, Ume berkata, selepas bergelar graduan dia bekerja dalam industri makanan dan minuman selama dua tahun dan mengambil keputusan membina perniagaan sendiri.

“Selepas tamat belajar saya tidak mempraktikkan kemahiran di dalam industri yang khusus, tetapi lebih berminat berada di dalam industri makanan sebagai satu kerjaya.

“Justeru, selepas dua tahun saya bekerja di restoran, saya pulang ke kampung dan hasilkan produk sendiri. Bagi saya, walaupun tidak mempraktikkan apa yang dipelajari di universiti, tetapi ia satu ilmu bermanfaat untuk saya apabila mempunyai perniagaan sendiri,” katanya.

Katanya, dia sentiasa melihat segala perkara sebagai rezeki yang dan peluang yang diberikan Tuhan kepadanya. Maka, perlu mempunyai rasa bersyukur dalam setiap perkara yang tertulis untuk dirinya.

“Saya tidak pernah menyesal kerana tidak bekerja mungkin sebagai jurutera kerana pada saya rezeki itu ada di mana-mana dan kita perlu bersyukur serta berusaha untuk membangunkan diri sendiri.

“Jadi, memilih untuk mempunyai produk sendiri ini juga rezeki dan saya perlu bersyukur dan berkerja keras kerana ia boleh memberi manfaat kepada orang lain seperti membuka pekerjaan kepada penduduk kampung di kawasan rumah saya,” katanya.

Malah, di media sosial juga Ume sentiasa berkongsi aktiviti lasak dilakukannya seperti mendaki gunung dan menyertai pelbagai larian denai.

Katanya, minat itu mula berputik ketika PKP kerana melihat ia aktiviti yang menarik untuk dilakukan bersama rakan dan mampu memberi manfaat kepada kesihatan diri.

“Saya baharu sahaja menyertai aktiviti lasak dan tidak menyangka ia menarik untuk dilakukan dan sentiasa mendapat maklum balas positif pengikut di media sosial.

“Pada masa sama saya berkongsi mengenai keunikan aktiviti yang saya lakukan dan lokasinya supaya orang ramai turut boleh mendapat manfaat,” katanya.

Katanya, sebagai individu yang gemar berkongsi aktiviti di media sosial dan mempunyai pengikut yang ramai, dia sentiasa berhati-hati supaya kandungan disampaikan tidak mengganggu sensitiviti.

“Walaupun saya tidak pernah menganggap diri sebagai pempengaruh tetapi apabila video kita banyak dikongsikan di media sosial, ia menjadi satu tanggungjawab supaya kandungan itu boleh memberi manfaat dan tidak menyebabkan orang lain tersinggung,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top