Se-young unggul juarai Terbuka Malaysia

Se-young unggul juarai Terbuka Malaysia
Se-young unggul juarai Terbuka Malaysia

Se-young (tengah) muncul juara perseorangan wanita Terbuka Malaysia selepas menewaskan pemain China di Bukit Jalil pada Ahad. Foto Bernama

PEMAIN wanita Korea Selatan, An Se-young menepati statusnya sebagai jagoan nombor satu dunia apabila menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 buat kali kedua berturut-turut.

Kejayaan tersebut hadir selepas pemain berusia 23 tahun itu menumpaskan pilihan kedua kejohanan, Wang Zhi Yi secara straight dalam aksi final di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi.

Turun sebagai juara bertahan, Se-young ditentang sengit lawan dari China itu sebelum menang 21-17.

Beliau yang menang 10 gelaran pada musim 2023 meneruskan momentum positif meninggalkan lawan jauh di belakang sebelum mengesahkan kemenangan 21-7 dalam tempoh 45 minit permainan.

Se-young mengakui bahawa bermain seperti biasa tanpa sebarang tekanan biarpun turun sebagai juara bertahan.

“Saya main sahaja, beraksi dengan permainan sendiri dan konsisten di gelanggang,” katanya.

Pada edisi 2024 Se-young muncul pemain Korea Selatan pertama memenangi gelaran dalam acara perseorangan wanita Terbuka Malaysia sejak kejohanan itu mula diadakan pada 1937.

Menyentuh pencapaian tersebut dan berjaya mempertahankannya buat kali kedua beliau menyifatkan sebagai menakjubkan, namun enggan cepat berpuas hati.

“Saya cuba berikan yang terbaik, tanpa mahu memikirkan sebarang rekod. Apapun saya tetap gembira dengan gelaran ini dan ia memberi motivasi yang baik untuk memenangi lebih banyak gelaran pada kejohanan akan datang,” katanya.

Menerusi kemenangan itu membolehkan Se-young membawa pulang AS$101,500 (RM456,600).

Sebagai rekod, beliau menjuarai edisi lalu selepas menewaskan pemain Taiwan, Tai Tzu Ying 10–21, 21–10, 21–18.

Scroll to Top