Melbourne: Penganjur Terbuka Australia terpaksa membatalkan lima perlawanan perseorangan selepas hujan lebat yang berterusan membasahi sebahagian besar jadual pembukaan hari ini, sekali gus mengecewakan ribuan peminat yang membanjiri Melbourne Park.
Walaupun begitu, juara Olimpik Zheng Qinwen, remaja Mirra Andreeva, Donna Vekic, dan Arthur Fils berjaya melangkah ke pusingan kedua menerusi perlawanan yang berlangsung di tiga gelanggang utama yang dilengkapi bumbung.
Namun, di gelanggang luar, permainan hanya sempat berlangsung kurang daripada sejam sebelum petang.
Lima daripada 32 perlawanan perseorangan yang dijadualkan dibatalkan, tetapi penganjur bersyukur kerana kejohanan ini kini mempunyai satu hari tambahan dalam jadual sejak perubahan pertama kali diperkenalkan tahun lalu.
Keadaan cuaca dan suasana di Melbourne Park sebenarnya bermula dengan cerah pada awal pagi.
Peminat membentuk barisan panjang di pintu masuk, teruja untuk menyaksikan acara sukan terbesar musim panas Australia itu.
Tiket pas gelanggang luar yang dijual pada harga berpatutan memberikan peluang kepada peminat untuk menyaksikan aksi pemain utama di gelanggang luar.
Namun, harapan mereka musnah apabila ribut ganas melanda kawasan berkenaan, disertai kilat menyambar dan guruh kuat yang menggegarkan suasana.
“Seronok di sini, duduk di arena sambil melihat air bertakung, tapi kami tak dapat tengok apa-apa perlawanan,” kata Alex, seorang akademik tempatan dengan nada sinis.
“Kami bayar 60 dolar (RM166) tapi tak dapat apa-apa.”
Sementara itu, gelanggang utama seperti Rod Laver Arena yang bumbungnya sudah ditutup terus menyaksikan aksi antara pemain nombor satu China, Zheng Qinwen, dan pemain kelayakan Romania, Anca Todoni, walaupun cuaca buruk melanda kawasan luar.
Penganjur kini berharap cuaca akan kembali baik bagi memastikan jadual kejohanan dapat diteruskan tanpa gangguan.
© New Straits Times Press (M) Bhd