MANCHESTER United memburu kemenangan penting ketika menentang Arsenal pada aksi pusingan ketiga Piala FA di Stadium Emirates pada Ahad.
Pengendali United, Ruben Amorim mengakui sejarah penting Piala FA dan kemenangan dalam perlawanan menentang The Gunners itu juga sedikit sebanyak akan memulihkan imej pasukan.
“Saya nampak apa yang semua orang nampak. Ia adalah pertandingan yang sangat lama dengan banyak sejarah.
“Kami memenangi beberapa piala (Piala FA) dan kami mahu meneruskannya. Pada peringkat ini, kami sudah mempunyai perlawanan yang sangat penting untuk menang dan mahu meningkatkan imej serta prestasi,” katanya.
Manchester United merupakan juara bertahan selepas memenangi piala itu ketika di bawah kendalian Erik ten Hag pada musim lalu.
Walaupun menghuni kedudukan ke-13 dalam carta Liga Perdana Inggeris, Amorim berharap untuk melihat aksi yang sama daripada pasukannya yang mereka tunjukkan dalam perlawanan liga sebelum ini menentang Liverpool.
Sejak ketibaan Amorim ke England pada November, Red Devils hanya memenangi dua daripada sembilan perlawanan liga tetapi telah bermain dengan baik menentang pasukan besar termasuk seri 2-2 menentang Liverpool dan kemenangan 2-1 ke atas Manchester City pada Disember.
Aston Villa lepasi ranjau West Ham United
ASTON Villa bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan West Ham United 2-1 dalam aksi pusingan ketiga Piala FA di Stadium Villa Park pada Sabtu.
Onana menyamakan kedudukan buat Villa di Villa Park. Foto Agensi
Gol kontroversi Amadou Onana dan jaringan Morgan Rogers menafikan kemenangan Graham Potter dalam perlawanan pertamanya sebagai pengendali The Hammers.
Sehari selepas Potter diumumkan sebagai pengganti Julen Lopetegui, Lucas Paqueta menjaringkan gol West Ham pada minit kesembilan selepas menyudahkan sentuhan Crysensio Summerville.
Namun Villa tampil lebih bertenaga separuh masa kedua apabila gol kontroversi Onana menyamakan kedudukan minit ke-71 hasil sepakan sudut Ian Maatsen menewaskan Lukasz Fabianski.
“Kami terkejut, tetapi pengadil telah memberikannya. Tiada apa yang boleh kami lakukan sekarang,” kata Potter.
Rogers kemudian muncul dengan jaringan pemenang untuk tuan rumah apabila memasukkan hantaran Ollie Watkins minit ke-76.
“Ia menunjukkan banyak kepercayaan dalam bilik persalinan yang kami tahu pasukan ini boleh kembali menentang sesiapa sahaja,” kata Rogers.
Sebagai rekod, Villa disingkirkan Chelsea pada pusingan keempat tahun lalu.
“Saya sangat gembira kerana pemain-pemain menampilkan permainan yang sangat bagus..
“Kami semakin kuat dan lebih hebat. Kami menamatkan perlawanan dengan kuat. Untuk menang adalah sangat penting untuk keyakinan,” kata pengendali Villa, Unai Emery.
PIALA FA
Pusingan Ketiga
Aston Villa 2-1 West Ham United
Wycombe 2-0 Portsmouth