London: Arsenal tidak mampu untuk membayar yuran perpindahan rekod British bagi mendapatkan Alexander Isak daripada Newcastle pada musim panas ini.
Sumber menyatakan pemilik kelab, Stan Kroenke tidak mungkin meluluskan perpindahan pemain berusia 25 tahun itu, dengan fokus utama buat masa ini adalah menjual beberapa pemain.
Difahamkan, Arsenal akan mempertimbangkan tawaran untuk penyerang, Gabriel Jesus pada penghujung musim, manakala Oleksandr Zinchenko berkemungkinan dijual bulan ini.
Kontrak Thomas Partey yang bergaji £150,000 seminggu (RM828,000) juga dijangka tamat pada Jun depan, sekali gus mengurangkan beban kewangan kelab.
Walaupun Arsenal tidak menghadapi masalah untuk mematuhi Peraturan Keuntungan dan Kelestarian, mereka masih perlu mengekalkan imbangan kewangan.
Oleh itu, buat masa ini, perpindahan untuk Isak dilihat tidak akan berlaku, menurut sumber rapat kelab.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta dikatakan cukup berminat terhadap pemain itu, begitu juga bekas pengarah sukan Edu, yang meninggalkan kelab pada November lalu.
Prestasi cemerlang Isak, termasuk menjaringkan gol ke-15 musim ini ketika membantu Newcastle menang 2-0 ke atas Arsenal dalam separuh akhir Piala Liga, membuktikan dia akan menjadi tonggak tambahan sempurna untuk skuad Gunners.
Namun, melainkan dapat menjual pemain utama, tidak mungkin Arsenal akan mengemukakan tawaran musim panas ini ke atas pemain itu.
Sumber Newcastle menegaskan bahawa tiada harga muktamad untuk Isak, kerana mereka mahu mengekalkan pemain itu di St James’ Park.
Bagaimanapun, perpindahan Isak hampir pasti memerlukan yuran melebihi rekod £115 juta (RM635.3 juta) yang dibayar Chelsea untuk Moises Caicedo.
© New Straits Times Press (M) Bhd