redzuan.muharam@hmetro.com.my
Rawang: “Papa, peluklah mama…tak nak peluk mama ke?”
Itu ungkapan dan permintaan terakhir Allahyarham Nur Izzaty Hafizah Abuhuraira buat suaminya, Amirul Nafis Amirnuddin, 27, beberapa jam sebelum menghembuskan nafas terakhirnya, jam 9 pagi, 6 Januari lalu.
Lebih menyedihkan, Nur Izzaty Hafizah meninggal dunia dalam pelukan suami dan sempat memberi susu kepada bayinya, Muhammad Faleeq Haq Amirul Nafis yang berumur dua bulan.
Menceritakan kisah itu, Amirul Nafis yang menetap di Bandar Tasik Puteri, dekat sini berkata, isterinya yang berusia 19 tahun meninggal dunia secara mengejut kerana dia tidak menghidap sebarang penyakit atau menunjukkan tanda sakit, kecuali senggugut pada malam sebelumnya.
Katanya, mereka juga sempat menghabiskan masa bersama dengan bercuti di Terengganu, Cameron Highlands, Pahang dan Pulau Pinang sebelum ini bagi meraikan tahun baharu.
“Waktu itu, kami baru pulang dari Pulau Pinang dan sampai rumah jam 1 pagi, malah sempat bermain dengan anak sehingga jam 2.30 pagi sebelum tertidur.
“Subuh hari kejadian, isteri kejutkan saya untuk solat sementara dia buatkan susu sebelum beri susu pada anak.
“Selesai semuanya, dia beritahu nak tidur dan saya tersedar jam 9 pagi apabila terdengar isteri seolah menggelupur sebelum menarik nafas kuat dan terkulai. Saya terus memanggil ayah naik ke atas dan cuba beri bantuan pernafasan kecemasan (CPR) sebelum ambulans tiba,” katanya dihubungi Harian Metro.
Setibanya ambulans di rumah, kakitangan perubatan juga berusaha memberi CPR dengan mesin pernafasan namun gagal menyelamatkan Nur Izzaty Hafizah yang disahkan meninggal dunia jam 9.45 pagi.
Menurut Amirul Nafis, segala-galanya berlaku terlalu pantas dan dia kehilangan isteri dalam sekelip mata.
“Dia (isteri) memang sihat, tak ada sakit malah bacaan darah dan gulanya juga baik hasil pemeriksaan di klinik kesihatan kerana dia seorang yang menjaga pemakanan.
“Tetapi, hasil pemeriksaan selepas bedah siasat mendapati, ada tompokan jangkitan kuman pada paru-parunya,” katanya.
Ditanya sama ada Nur Izzaty Hafizah ada menunjukkan sebarang ‘tanda’ sebelum meninggal dunia, Amirul Nafis tidak menyedarinya sehinggalah selepas pemergian isterinya itu.
“Banyak juga yang saya perasan selepas isteri tiada, antaranya isteri minta hendak guna kad kredit saya untuk langsaikan semua hutangnya tiga hari sebelum meninggal dunia.
“Pada 4 Januari lalu, isteri teringin hendak makan daging wagyu dan saya bawanya ke restoran di sebuah pusat beli belah di Kuala Lumpur.
“Dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang ke rumah pula, isteri letak tangannya di pipi saya dan ucap terima kasih, dia beritahu kepada saya jangan baik sangat kerana orang baik selalu pergi dulu, tapi rupanya dia yang terlebih dulu tinggalkan saya.
“Itu belum lagi bungkusan pelbagai barangan keperluan bayi yang sempat dibeli isteri dan ia seolah-olah bekalan buat anak kami,” katanya.
Amirul Nafis berkata, dia reda dan cuba tabahkan hati untuk mengharungi hari mendatang tanpa Nur Izzaty Hafizah walaupun sukar.
“Isteri seorang yang ceria malah disenangi seluruh ahli keluarga. Kami cukup terasa apabila dia tiada kerana dia sangat baik, malah ramai yang datang pada hari pengebumian dan majlis tahlilnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd