Kondominium jadi stor dadah bernilai RM13.59 juta diserbu

Kondominium jadi stor dadah bernilai RM13.59 juta diserbu

JOHOR BAHRU: Bekas banduan yang dibebaskan pada Julai 2022 ditahan sepasukan anggota polis selepas disyaki menjadi dalang sindiket pengedaran dadah bernilai RM13.59 juta.

Lelaki warga tempatan berusia 29 tahun itu ditahan bersama empat lagi individu disyaki ahli sindiket dalam operasi dijalankan antara jam 12.30 tengah malam 5 Januari lalu hingga pukul 8 malam kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah termasuk 73.550 kilogram (kg) serbuk ekstasi; 20.296 kg ketamin; 2.925 kg pil eramin 5 serta lapan gram pil ekstasi bernilai keseluruhan RM13.59 juta daripada kesemua suspek berusia antara 24 hingga 29 tahun itu.

ā€œPolis turut merampas pelbagai peralatan pembungkusan dadah selain menyita tiga buah kereta, sebuah motosikal, pelbagai barangan kemas, wang tunai dan akaun syarikat bernilai RM351,675.80.

ā€œNilai rampasan keseluruhan dadah dan barangan sitaan adalah sebanyak RM14.2 juta,ā€ katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini semalam.

Kumar berkata, ujian urin mendapati tiga suspek termasuk dalang sindiket yang berusia 29 tahun positif dadah jenis ketamin.

ā€œModus operandi digunakan adalah mendapatkan bekalan dadah dari luar sebelum menjadikan kondominium mewah yang disewa sebagai stor dan pusat pembungkusan semula sebelum diedar ke pasaran.

ā€œJika dibiarkan, dadah itu boleh digunakan seramai 357,126 penagih,ā€ katanya yang turut memberitahu semua suspek kini direman tujuh hari hingga 11 Januari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Scroll to Top