razis@mediaprima.com.my
Siapa sangka, percubaan kali pertama pasangan suami isteri memiliki kediaman pertama menerusi Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) membuahkan hasil.
Syaza Amira Safari, 32, berkata, selepas mendirikan rumah tangga hampir sembilan tahun, dia dan suaminya, Izzat Qisti, 33, tinggal di kediaman ibunya di Kuching, Sarawak.
Katanya, seperti pasangan suami isteri lain, mereka mempunyai impian untuk memiliki kediaman sendiri namun hanya sekadar angan-angan kerana hidup yang agak ‘keras’ selain terikat dengan pelbagai komitmen.
“Bagaimanapun selepas mengetahui berkenaan RMR, kami membuat kajian berkenaan syarat-syarat yang ditetapkan termasuk tidak pernah memiliki rumah, memiliki tanah bergeran dan pendapatan tidak melebihi RM5,000.
“Kemudian, suami mencuba nasib selepas mendapat kebenaran membina kediaman di atas tanah milik ibunya.
“Selepas permohonan dibuat Disember tahun lalu, tanpa disangka, pada Jun 2024 kami dimaklumkan permohonan yang dinanti-nantikan akhirnya berjaya diluluskan,” katanya.
Dia dan suami bersyukur kerana kediaman berkeluasan 790 kaki persegi berharga RM85,000 itu banyak membantu mereka yang berpendapatan rendah memiliki kediaman pertama.
“Lebih menggembirakan, kami turut menerima subsidi berjumlah RM20,000 yang menjadikan kediaman ini berharga RM65,000.
“Dengan deposit minimum RM1,500, bayaran bulanan hanya dikenakan RM300 selama 18 tahun,” katanya.
Menurutnya, sebulan selepas permohonan RMR diluluskan, pembinaan rumah tunggal yang dilengkapi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air itu terus dimulakan.
“Melalui SPNB, pelan rumah, pendawaian elektrik dan kontraktor disediakan untuk memastikan projek pembinaan kediaman berjalan lancar.
“Bagaimanapun, kami perlu mengeluarkan kos tambahan berjumlah RM16,000 untuk kerja-kerja menambak tanah dan membuat permohonan bekalan elektrik dan air sendiri,” katanya.
Ibu kepada dua anak itu berkata, pembinaan rumah berjalan lancar dengan mengambil masa selama dua bulan untuk disiapkan.
“Saya dan suami menerima kunci kediaman pada 18 Oktober lalu. Bagaimanapun, sehingga kini rumah itu masih belum boleh diduduki kerana menunggu bekalan air dan elektrik masuk serta kerja-kerja dekorasi yang masih dijalankan.
“Jika tiada halangan, saya berharap dapat masuk ke kediaman baharu pada Januari tahun hadapan,” katanya.
Baginya, pembelian kediaman ini amat berbaloi kerana lokasinya terletak kira-kira lapan kilometer dari bandar Kuching yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas seperti sekolah, hospital, klinik kesihatan dan pusat membeli-belah.
“Selain itu, rumah ibu dan ibu mentua juga tidak jauh. Jadi mudah untuk saya dan suami pulang ke kampung,” katanya.
Bagaimanapun dalam kegembiraan memiliki kediaman sendiri, Syaza yang bekerja sebagai jurusolek amat mengambil berat soal komitmen yang perlu ditanggung.
“Untuk itu, kami perlu bekerja keras dan sentiasa disiplin dalam perbelanjaan serta berjimat supaya bayaran bulanan dapat dibuat mengikut masa yang ditetapkan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd