Kuala Lumpur: “Janganlah buat wajah kami begini sehingga menyusahkan untuk mencari rezeki,” kata pereka fesyen, Razmi apabila dia dan rakannya, Razman cedera di muka selepas diserang jurugambar dalam kejadian di acara anugerah yang berlangsung di sebuah hotel, di sini, malam tadi.
Razmi berkata, meskipun ramai yang beranggapan dia tidak membayar hutang sehingga dicederakan oleh jurugambar itu, namun mereka tidak pernah lari daripada hutang terbabit.
“Semua ingat kami berhutang dengan dia. Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya jual kereta peribadi dan bersetuju untuk dia bayar secara ansuran sebelum saya menyerahkan kereta terbabit.
“Namun, selepas dia menggunakan beberapa minggu dan rosakkan kereta berkenaan dia tinggalkan kereta di tepi jalan begitu saja dan meminta wangnya dikembalikan.
“Saya pun beritahu Razman yang kami bersetuju untuk bayar sedikit demi sedikit. Maklum sajalah PKP mana nak ada perniagaan. Selepas itu baru kami dapat bayar, tapi tiba-tiba Razman pula terkena serangan jantung.
“Walaupun begitu, kami tetap bekerja dan tak pernah bercakap kasar atau menipu orang. Saya tak pernah lari daripada sesiapa. Jika ada hutang tetap kena bayar,” katanya dalam satu perkongsian video di InstaStory.
Menurut Razmi, dia sudah memaklumkan kepada jurugambar itu untuk membayar keseluruhan hutang pada bulan ini, namun tidak menyangka mereka diserang.
“Saya ada jumpa tiga minggu lepas dalam sebuah acara, saya ada bayar dia dan beritahu bulan ini saya akan selesaikan semua hutang.
“Kalau ikut hati saya tidak mahu sebab dia kurang ajar sebab setiap kali jumpa dia akan ugut, tengking dan malukan kami.
“Saya beritahu Razman untuk bersabar sebab kita datang untuk mencari rezeki. Kita bukan kaya macam pereka fesyen lain. Kita sederhana saja.
“Semalam selepas saya siapkan Datuk Seri Vida tiba-tiba Razman dipukul dan saya pun sama dipukul oleh dia. Kalau ketika itu Razman terkena serangan jantung dan tiba-tiba meningal dunia macam mana?,” katanya.
Sebelum ini dalam satu temubual media, Razmi mengaku ada berhutang sejumlah RM20,000 berkaitan penjualan kereta yang dilakukan sekitar tahun 2019.
Mereka berdua kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Mutiara Damansara dan jurugambar berkenaan sudah ditahan pihak berkuasa.
Sebelum ini, dalam kejadian jam 8.40 malam itu, Razman dan Razmi dipukul dengan kamera oleh jurugambar lelaki terbabit.
Kejadian berlaku ketika wartawan sedang menemubual Vida sebelum jurugambar terbabit bertindak agresif dengan menyerang dan memukul mereka dengan kamera miliknya.
Kedua-duanya yang mengalami luka di pipi kemudian diberi rawatan kecemasan sebelum penganjur bertindak membuat laporan polis.
© New Straits Times Press (M) Bhd